Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

146) RUMAH MAMPU MILIK

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kerajaan bercadang mendirikan lebih banyak Rumah Mampu Milik dan apakah terdapat teknologi yang boleh mengurangkan lagi kos pembinaan supaya dapat dijual dengan harga yang lebih murah ?

    Kerajaan Negeri memang berhasrat untuk mendirikan lebih banyak Rumah Mampu Milik Selangor Konsep Baru pada masa hadapan bagi memenuhi keperluan golongan belia dan eksekutif muda yang berpendapatan di antara RM2,500.00 hingga RM5,000.00 sebulan. Untuk itu, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah mensasarkan untuk membina sejumlah kira-kira 11,000 unit Rumah Mampu Milik Selangor Konsep Baru dalam tempoh 5 tahun dari tahun 2011 hingga tahun 2016 dan tambahan 10,000 unit lagi untuk tempoh 5 tahun yang berikutnya.

    Berkenaan pengurangan kos binaan dengan menggunakan teknologi terkini, Kerajaan Negeri sehingga kini masih lagi mencari kaedah yang terbaik bagi mengatasi masalah tersebut. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah bercadang untuk mengadakan Bengkel Penyediaan Dasar Perumahan Negeri Selangor. Skop bengkel tersebut termasuklah membincangkan aspek penetapan harga jualan Rumah Mampu Milik, mengenalpasti meterial dan teknologi pembinaan yang mampan, murah dan tanpa berkompromi dari aspek kualiti yang boleh diterapkan dalam pembinaan Rumah Mampu Milik Selangor Konsep Baru ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.