Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

111) RUMAH MAMPU MILIK UNTUK GENERASI MUDA

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Dalam usaha Kerajaan Negeri untuk menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda, elemen utama ialah pangkalan data kadar nisbah pemilikan rumah. Apakah Kerajaan Negeri sudah mempunyai pangkalan data tersebut dan berapakah rumah mampu milik ini yang akan dibina untuk maksud tersebut?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah pun mewujudkan satu sistem pangkalan data untuk menerima permohonan pendaftaran Projek Perumahan Mampu Milik Selangor Konsep Baru.  Sejak sebulan lebih ia dilancarkan oleh Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor, sebanyak 1,955 borang permohonan telah dijual kepada bakal pembeli yang berminat. Daripada jumlah tersebut sebanyak 400 borang iaitu kira-kira 20.46% telah dikembalikan semula kepada LPHS untuk dimasukkan ke dalam sistem yang diwujudkan bagi tujuan saringan kelayakan mereka.

    Selain daripada 124 unit rumah mampu milik di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi yang merupakan Projek Perintis, PKNS juga telah merancang untuk membina sebanyak 11,000 seunit rumah mampu milik untuk tempoh 5 tahun dari tahun 2011 sehingga tahun 2016 dan diikuti tambahan sebanyak 10,000 lagi untuk tempoh 5 tahun yang berikutnya. Lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti termasuklah di Seksyen U10 Shah Alam, Kg. Temenggong di Gombak, Taman Sains Selangor 2 di Sepang, Kota Puteri di Kuala Selangor, Antara Gapi dan Bernam Jaya di Hulu Selangor.

    Untuk makluman juga LPHS ketika ini sedang menjalankan Kajian Menyeluruh Berkenaan Perumahan Mampu Milik Berdasarkan Pendapatan Isirumah. Kajian yang bermula 1 Jun 2001 ini dijalankan dengan kerjasama Unit Perundingan Universiti Malaysia dengan dijangka siap dalam tempoh 6 bulan. Kajian ini kelak diharap akan dapat membantu Kerajaan Negeri merangka strategi yang lebih jelas dan berkesan dalam menyediakan perumahan mampu milik untuk semua golongan termasuk golongan muda.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.