Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

10) Rumah Pangsapuri Kos Rendah Negeri Selangor

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri Selangor dalam menyelesaikan masalah berkaitan pangsapuri- pangsapuri yang uzur dan usang di Negeri Selangor?

    Di Negeri Selangor, sebahagian besar bandarnya telah berusia sekitar 40 tahun. Faktor-faktor perubahan masa dan kesesuaian pembangunan masa kini, banyak kawasan penempatan tersebut perlu diberi nafas baru. Malahan, pada masa kini banyak aduan dan laporan tentang masalah pangsapuri-pangsapuri yang mengalami keretakan bangunan dan kerosakan infrastrusktur. Contohnya seperti apa yang berlaku di Flat Taman Keramat Permai dan Pangsapuri Berembang, Pelabuhan Klang. Justeru itu, Kerajaan negeri akan melihat kesesuaian menggunakan Garis Panduan Pembaharuan Semula (Urban Renewal) Penempatan Bandar Di Negeri Selangor menyelesaikan isu pangsapuri yang uzur dan usang. Garis panduan ini memperincikan Dasar Pembaharuan Semula Bandar, termasuk hal berkaitan ‘redevelopment’ di Negeri Selangor dan selaras dengan segala hal berkaitan perundangan sedia ada. Pendekatan pembaharuan bandar ini sebagai satu mekanisme bagi membantu meningkatkan kualiti persekitaran kehidupan penduduk di bandar terutama yang tinggal di pangsapuri kos rendah.Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) turut memperkasakan kriteria pemilihan penerima bantuan skim CERIA, antaranya memberi keutamaan pangsapuri yang berusia melebihi 10 tahun dan keadaan bangunan yang boleh menjejaskan pemandangan terutama pangsapuri yang terletak dalam kawasan tumpuan orang awam. Oleh demikian, skim ceria bantuan tahun 2020 memberi tumpuan bantuan gantian bumbung akibat kerosakan teruk akibat faktor usang.

    Selain itu, LPHS dan Pesuruhjaya Bangunan (COB) di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa mengemaskini data pemajuan strata di negeri Selangor bagi mengenalpasti pangsapuri yang dikategorikan telah uzur dan perlu diberi perhatian serius oleh Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.