Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

21) RUMAH-RUMAH TERBENGKALAI

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pendekatan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah projek perumahan terbengkalai khususnya di DUN Taman Templer?

    Untuk makluman Yang Berhormat, antara pendekatan yang telah diambil oleh Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor dalam menangani masalah projek terbengkalai khususnya di Dun Taman Templer iaitu apartment Kristal adalah mengadakan perbincangan secara berkala bersama Pejabat Tanah Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan dan pihak pelikuidasi (Hall Chadwick Corporate Advisory Sdn. Bhd) melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT). Perbincangan turut diadakan dengan semua jabatan teknikal seperti SYABAS, TNB, IWK dan agensi berkaitan dengan tujuan mempercepatkan pemulihan projek di samping mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan. JPPT bertujuan bagi membincangkan dan mendapatkan kerjasama semua pihak antaranya bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang terbengkalai dalam memulihkan projek ini. Jawatankuasa ini memainkan peranan penting dalam merangka pelan pemulihan di samping membuat penilaian semula projek terbengkalai sama ada projek tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan. Pada tahun 2019 Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai Pihak Berkuasa Tempatan (JKPPT PBT) ditubuhkan untuk memastikan focus pemulihan, pengurusan isu sepanjang pengendalian mesyuarat dan pemantauan penyelesaian projek terbengkalai di kawasan 12 PBT dapat ditangani dengan lebih cekap, holistik, telus dan sistematik secara berterusan dengan kolaborasi pelbagai agensi.

Lampiran

Tiada Lampiran.