Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

164) RUMAH SELANGORKU

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kaedah Kerajaan Negeri bagi menangani masalah penyewaan unit rumah Selangorku oleh pembeli kepada pihak ketiga tanpa mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri?

    Pihak Berkuasa Negeri telah menetapkan syarat-syarat permohonan yang ketat bagi memastikan bahawa Rumah Selangorku yang merupakan hartanah kawalan diagihkan kepada golongan yang benar-benar berkelayakan bagi memastikan matlamat satu keluarga satu kediaman tercapai. Antara syarat yang ditetapkan adalah pemohon tidak memiliki sebarang jenis kediaman di Selangor. Penggenaan syarat tersebut adalah bagi memastikan bahawa pemohon yang ditawarkan rumah Selangorku akan  memanfaatkan rumah Selangorku yang ditawarkan bagi tujuan kediaman yang dihuni sendiri dan bukan disewakan bagi tujuan pelaburan.

     

    Sejak kebelakangan ini, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mula menerima aduan berhubung dengan penyewaan Rumah Selangorku. Ada di antara unit-unit rumah Selangorku ini yang dijadikan ‘homestay’ dan asrama pekerja mahu pun asrama  pelajar. Malah, ada juga unit-unit Rumah Selangorku yang disewakan kepada warga asing yang menimbulkan masalah-masalah lain antaranya ancaman keselamatan, kacau ganggu dan sebagainya.

     

    Bagi mengekang permasalahan ini daripada terus berleluasa, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor telah mengambil tindakan seperti berikut:

     

    • menjalankan siasatan berhubung perkara ini dengan meneliti semula proses penawaran kepada pembeli-pembeli yang terlibat menyewakan unit-unit Rumah Selangorku;

     

    • mengeluarkan notis bagi mendapatkan keterangan daripada pembeli yang menyewakan unit-unit Rumah Selangorku sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 38 Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor 2001;

     

    • membuat tindakan penyelarasan bersama–sama dengan Jabatan Pesuruhjaya Bangunan dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi menjalankan operasi bersepadu bagi kesalahan-kesalahan yang bersampingan dengan isu penyewaan ini antaranya membuat pengubahsuaian tanpa kelulusan, pendawaian haram, kepenghunian sesak dan kacau ganggu berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pihak Berkuasa Tempatan 1971 (Akta 171) dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133);

     

    • terlibat dalam operasi bersepadu bersama-sama dengan Pihak Berkuasa Tempatan seperti telah diadakan pada 28 Januari 2019 di salah satu pangsapuri Rumah Selangorku di Klang;

     

    • telah mengarahkan pemaju yang membina Rumah Selangorku, Badan Pengurusan Bersama dan Perbadanan Pengurusan untuk mengambil tanggungjawab yang sewajarnya untuk menguatkuasakan undang-undang kecil di bawah Jadual Ketiga Peraturan-Peraturan Strata 2013 (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015 antaranya mengawal selia penggunaan akses kad terhad kepada penghuni yang mendiami unit Rumah Selangorku;

     

    • merangka undang-undang kecil tambahan untuk digunapakai oleh semua Rumah Selangorku merangkumi peruntukan mengenakan tindakan punitif termasuk mengenakan denda terhadap mana-mana pelaku yang  melakukan kesalahan di bawah undang-undang kecil bagi memastikan kepatuhan penghuni Rumah Selangorku bagi menjamin tahap keselamatan dan kesihatan  keselesaan dan kenikmatan pemilik dan penghuni Rumah Selangorku; dan

     

    • membuat koordinasi pengurusan aduan penyewaan dan penguatkuasaan ini bersama dengan Pihak Berkuasa Tempatan melalui Bengkel Manual Pengurusan dan Penyenggaraan Rumah Selangorku di mana satu manual berhubung tatacara seragam pengurusan serta penyenggaraan bagi Rumah Selangorku telah disediakan sebagai langkah pencegahan serta pengawalan daripada permasalahan ini daripada terus berulang.

Lampiran

Tiada Lampiran.