Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

134) RUMAH SELANGORKU

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan yang akan diambil kepada pemilik Rumah Selangorku yang menyewa unit mereka kepada orang lain untuk memastikan syarat Rumah Selangorku adalah didiami oleh pemilik dipatuhi?

    Pekeliling Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Bilangan 1 Tahun 2018 berhubung Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor (Rumah Selangorku 2.0) yang menggantikan Dasar Rumah Selangorku melalui Pekeliling Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) Bilangan 1 Tahun 2013 (Rumah Selangorku) tidak secara nyata menetapkan syarat pemilikan rumah Selangorku hanyalah untuk didiami dan tidak boleh disewakan oleh pemilik.

     

    Walau bagaimanapun, memandangkan rumah Selangorku adalah hartanah kawalan untuk diagihkan kepada golongan yang benar-benar berkelayakan bagi memastikan matlamat satu keluarga satu kediaman tercapai, antara syarat yang dikenakan bagi pemilikan rumah Selangorku adalah bahawa pemohon atau pasangan belum memiliki sebarang jenis kediaman di Selangor.

     

    Penggenaan syarat tersebut adalah bagi memastikan bahawa pemohon yang ditawarkan rumah Selangorku akan  memanfaatkannya bagi tujuan kediaman sendiri dan bukan untuk tujuan pelaburan seperti sewaan dan seumpama dengannya.

     

    Bagi menjawab persoalan di atas iaitu apakah tindakan yang akan diambil kepada pemilik Rumah Selangorku yang menyewa unit mereka kepada orang lain untuk memastikan syarat Rumah Selangorku adalah didiami oleh pemilik dipatuhi, LPHS telah merangka mekanisme yang bersesuaian melalui untuk dilaksanakan agar pemilikan rumah Selangorku dan juga aktiviti sewaan kepada pihak lain oleh pembeli ini dapat dikawal. Antara tindakan kawalan yang diambil adalah seperti berikut :-

    • LPHS telah menggariskan kelayakan pembeli dalam saringan permohonan di dalam Sistem Pendaftaran Permohonan Rumah Selangorku (SPPRS) agar hanya pemohon yang benar-benar layak sahaja yang akan diproses dan ditawarkan rumah Selangorku;

     

    • menjalankan siasatan berhubung perkara ini dengan meneliti semula proses penawaran kepada pembeli-pembeli yang terlibat menyewakan unit-unit Rumah Selangorku;

     

    • mengeluarkan notis bagi mendapatkan keterangan daripada pembeli yang menyewakan unit-unit Rumah Selangorku seperti mana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 38 Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor 2001;

     

     

    • membuat tindakan penyelarasan bersama–sama dengan Jabatan Pesuruhjaya Bangunan dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi menjalankan operasi bersepadu bagi kesalahan-kesalahan yang bersampingan dengan isu penyewaan antaranya pengubahsuaian tanpa kelulusan, pendawaian haram, kepenghunian sesak dan kacau ganggu berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pihak Berkuasa Tempatan 1971 (Akta 171) dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133);

     

    • mengarahkan pemaju yang membina Rumah Selangorku, Badan Pengurusan Bersama dan Perbadanan Pengurusan untuk mengambil tanggungjawab yang sewajarnya untuk menguatkuasakan undang-undang kecil di bawah Jadual Ketiga Peraturan-Peraturan Strata 2013 (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015 antaranya mengawal selia penggunaan akses kad terhad kepada penghuni yang mendiami unit Rumah Selangorku;

     

    • satu Manual Pengurusan dan Penyenggaraan Rumah Selangorku berhubung tatacara seragam pengurusan serta penyenggaraan bagi Rumah Selangorku telah disediakan sebagai langkah pencegahan serta pengawalan permasalahan ini daripada terus berulang, di mana koordinasi pengurusan aduan penyewaan dan penguatkuasaan bersama dengan Pihak Berkuasa Tempatan melalui tersebut akan dilaksanakan. Manual tersebut akan diangkat untuk kelulusan Pihak Berkuasa Negeri dalam masa yang terdekat; dan
    • Manual Pengurusan dan Penyenggaraan Rumah Selangorku tersebut juga akan menjadi garis panduan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) untuk merangka peraturan-peraturan dan kaedah dalaman tertakluk kepada Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bagi melancarkan perjalanan pengurusan serta memastikan kepatuhan penghuni Rumah Selangorku untuk menjamin tahap keselamatan, kesihatan,  keselesaan dan kenikmatan pemilik dan penghuni Rumah Selangorku.

Lampiran

Tiada Lampiran.