Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

242) RUMAH SELANGORKU

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Rumah Selangorku jenis A mendapat sambutan yang hangat berbanding dengan jenis lain. Rumah jenis lain kurang digemari disebabkan harga rumah jauh berbeza dengan jenis A. Adakah Kerajaan akan memberi keutamaan untuk membina lebih banyak rumah jenis A daripada jenis-jenis lain?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri amat prihatin malah menggalakkan setiap individu terutamanya golongan berpendapatan rendah atau B40 untuk memiliki rumah idaman mereka sesuai dengan slogan Kerajaan Negeri iaitu ‘Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna’.

    Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Kerajaan Negeri telah merangka beberapa langkah agar projek Rumah Selangorku Jenis A di beri keutamaan dan lebih banyak di bina bermula daripada peringkat dasar sehinggalah ke peringkat pemantauan pelaksanaan projek. Dari peringkat dasar, Kerajaan Negeri telah meluluskan Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangorku (Rumah Selangorku 2.0) yang berkuatkuasa pemakaiannya mulai 2 April 2018 bertujuan memastikan Rumah Selangorku Jenis A berada dan banyak di pasaran, setiap pembangunan perumahan berkeluasan melebihi 5 ekar dikenakan syarat penyediaan 10% Rumah Selangorku Jenis A mengikut zon- zon pembangunan. Penyediaan Rumah Selangorku Jenis A ini disyaratkan kepada semua pemaju perumahan sama ada terdiri daripada pemaju swasta, kerajaan atau Anak Syarikat Kerajaan Negeri / Persekutuan.

    Untuk makluman Yang Berhormat, bagi memastikan pembinaan Rumah Selangorku terutamanya Jenis A di bina dan berada di pasaran, Kerajaan Negeri sentiasa memantau pelaksanaan pembinaan Rumah Selangorku melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Selangorku Negeri Selangor. Sekiranya pihak pemaju tidak membina atau sengaja melambat-lambatkan pembinaan Rumah Selangorku, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan akan mengeluarkan ‘stop work order’ / tidak menyokong pengeluaran Sijil Perakuan dan Pematuhan (CCC) serta tidak meluluskan permohonan Kebenaran Merancang bagi pembangunan perumahan harga bebas atau lain-lain pembangunan sekiranya syarat tersebut tidak dilaksanakan. Pihak pemaju perlu membina Rumah Selangorku Jenis A secara serentak atau bersekali dengan rumah harga bebas.

    Selain pemantuan pembinaan projek, Kerajaan Negeri juga menguatkuasakan pemantauan aktiviti pemasaran yang dibuat oleh pihak pemaju. Pihak pemaju perlu mempromosikan / menyebarluaskan projek-projek Rumah Selangorku yang dibina supaya diketahui oleh rakyat jelata bagi memudahkan bakal pembeli membuat semakan / memohon rumah tersebut.

    Dengan adanya langkah- langkah tersebut, ianya dapat memacu serta mencapai matlamat Kerajaan Negeri untuk merancang serta memperbanyakkan projek Rumah Selangorku Jenis A.

Lampiran

Tiada Lampiran.