Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

122) RUMAH SELANGORKU

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rekod tindakan kerajaan setakat ini kepada pemilik yang menyewakan Rumah Selangorku kepada pihak ketiga daripada tahun 2017 sehingga kini?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan mengambil tindakan dengan membuat siasatan di lokasi bagi setiap aduan yang dikemukakan berhubung dengan isu penyewaan Rumah Selangorku (RSKU) untuk mendapatkan pengesahan terhadap aduan tersebut selaras dengan fungsi dan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 6 Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor 2001 dalam melaksanakan arahan pihak Berkuasa Negeri.

    Berdasar rekod setakat ini sebanyak 6 lawatan tapak yang merangkumi 19 unit RSKU bagi tujuan siasatan di lokasi terlibat telah dijalankan seperti berikut :

     

    • Pangsapuri Putra, Taman Putra Prima Puchong (2 unit)
    • Pangsapuri Azaria, Bandar Parkland (10 unit)
    • Pangsapuri Gapura Bayu, Jade Hill Kajang (1 unit)
    • Pangsapuri De Palma, Setia Alam (2)
    • Pangsapuri De Kiara, Setia Alam (2) ; dan
    • Pangsapuri Trifolis, Bandar Bukit Tinggi, Klang (2)

     

    Manakala sebanyak 6 unit RSKU di Pangsapuri Azaria, Bandar Parkland telah dikeluarkan notis secara pentadbiran oleh LPHS kepada unit-unit yang disewakan kepada warga asing.

    Selanjutnya, sekiranya didapati implikasi yang timbul ekoran daripada penyewaan oleh pemilik RSKU tersebut menyebabkan wujudnya kesalahan-kesalahan yang bersampingan dengan isu penyewaan tersebut antara lainnya seperti pengubahsuaian tanpa kelulusan, pendawaian haram, kepenghunian sesak dan kacau ganggu berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pihak Berkuasa Tempatan 1971 (Akta 1971) dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) maka perkara tersebut akan dipanjangkan ke Jabatan Pesuruhjaya Bangunan dan Pihak Berkuasa Tempatan yang berkaitan.

    Selain daripada itu pihak pemaju yang membina Rumah Selangorku, Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (JMC) dinasihatkan untuk membuat langkah kawalan melalui “house rules” yang dibenarkan di bawah Jadual Ketiga Peraturan-Peraturan Strata 2013 (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015 dan Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757] khusus bagi menjaga kepentingan serta menjamin tahap keselamatan, keselesaan serta kesejahteraan pemilik dan penghuni kediaman berstrata.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.