Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

130) RUMAH SELANGORKU

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri sekiranya mendapati iklan yang menjualkan Rumah Selangorku sebelum 5 tahun dari Perjanjian Jual-Beli dan tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Negeri?

    Pihak Berkuasa Negeri telah menetapkan syarat-syarat permohonan yang ketat bagi memastikan bahawa Rumah Selangorku yang merupakan hartanah kawalan diagihkan kepada golongan yang benar-benar berkelayakan bagi memastikan matlamat satu keluarga satu kediaman tercapai. Dasar Kerajaan Negeri Selangor telah jelas menyatakan bahawa penjualan Rumah Selangorku hendaklah dibuat selepas lima (5) tahun pegangan bermula daripada tarikh penerimaan milikan kosong. Ini dibuktikan melalui kawalan yang ketat oleh Pihak Berkuasa Negeri dalam memberikan kebenaran memindah milik Rumah Selangorku oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor. Pembeli adalah tidak dibenarkan dalam tempoh lima (5) tahun dari tarikh milikan kosong diserahkan atau dari tarikh milikan kosong telah dianggap diserahkan untuk menjual, memindahmilik, menyerah hak, meninggalkan pemilikan sama ada seluruhnya atau sebahagiannya atau memasuki apa-apa perjanjian dalam apa bentuk sekalipun dan/atau menjadikan unit tersebut sebagai cagaran tanpa mendapatkan persetujuan bertulis daripada Pihak Berkuasa Negeri. Tindakan kawalan tersebut adalah selaras dengan Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Ke 33/2016 yang bertarikh 5 Oktober 2016 Kertas EXCO-MTES No.1/24/2016 bahawa MMKN bersetuju supaya projek Rumah Selangorku oleh Kerajaan Negeri Selangor dimasukkan moratorium melalui sekatan kepentingan, di mana sekatan pindah milik dikenakan selama tempoh lima (5) tahun dari tarikh pindah milik pertama didaftarkan.

    Selain itu juga, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor turut mengambil inisiatif dengan mempergiatkan hebahan dan penerangan berhubung dasar pemilikan Rumah Selangorku melalui pameran-pameran hartanah yang dianjurkan, melalui hebahan berkala kepada ejensi-ejensi kerajaan serta laman sesawang  media sosial media bagi memaklumkan syarat tersebut kepada orang awam.

Lampiran

Tiada Lampiran.