Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

141) RUMAH SELANGORKU

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Projek Rumah Selangorku kurang sambutan terutamanya jenis B, C dan D yang dibina di kawasan luar bandar. Apakah usaha yang akan dilakukan demi meningkatkan sambutan rakyat terhadap projek-projek Rumah Selangorku ini?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor (Rumah Selangorku 2.0) telah mensyaratkan malah menggalakkan kepada pemaju untuk membina lebih banyak Rumah Selangorku jenis bertanah seperti teres atau sekurang- kurangnya Rumah Bandar, ianya mampu menarik minat / sambutan daripada pembeli terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar berbanding Rumah Selangorku jenis berbilang tingkat (Pangsapuri).

     

    Selain itu, bagi meningkatkan sambutan rakyat terhadap projek Rumah Selangorku terutamanya jenis B, C dan D yang dibina di kawasan luar bandar, beberapa usaha-usaha sedang dan telah dibuat melalui pendekatan seperti berikut ;

     

    • Mempromosikan / menyebarluaskan projek-projek Rumah Selangorku supaya diketahui oleh rakyat jelata melalui media cetak dan media elektronik.

     

    • Mengadakan program-program penawaran Rumah Selangorku secara terbuka dan terus setelah penawaran berdasarkan merit dibuat bagi mempercepatkan urusan pembelian Rumah Selangorku.

     

    • Mengadakan program Pameran Hartanah Negeri Selangor setiap tahun khususnya untuk mempromosikan projek-projek Rumah Selangorku.

     

    • Memaklumkan / memanjangkan kepada semua Jabatan Kerajaan / Agensi Kerajaan supaya kakitangan kerajaan boleh mengakses / mendapatkan maklumat berkenaan projek-projek Rumah Selangorku sekaligus dapat membeli unit-unit rumah tersebut.

     

    • Memaklumkan / memanjangkan kepada semua pejabat-pejabat ADUN berkenaan projek-projek Rumah Selangorku khususnya bagi baki unit-unit yang masih kosong / tidak terjual untuk diwar-warkan atau disebarluaskan kepada penduduk-penduduk di kawasan ADUN masing-masing supaya mereka mengetahui akan kewujudan projek-projek Rumah Selangorku seterusnya dapat membeli unit rumah tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.