Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

7) RUMAH SELANGORKU

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah sebab utama Kerajaan Negeri tidak memperbanyakkan pembinaan rumah jenis kategori A?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri amat prihatin dan komited dalam menyediakan Rumah Selangorku terutamanya Jenis A, ini dapat dilihat kepada Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangorku (Rumah Selangorku 2.0) yang berkuatkuasa pemakaiannya mulai 02 April 2018. Bagi mana-mana tanah/ tapak cadangan yang terletak di Zon 1 pembangunan dengan keluasan melebihi 5 ekar dan ke atas dikenakan syarat penyediaan 10% Rumah Selangorku Jenis A, bagi Zon 2 pembangunan yang berkeluasan 20 ekar ke atas turut dikenakan 10% Rumah Selangorku Jenis A manakala bagi Zon 3 yang berkeluasan 50 ekar dan ke atas juga dikenakan 10% Rumah Selangorku Jenis A. Penyediaan Rumah Selangorku Jenis A disyaratkan kepada semua pemaju perumahan sama ada terdiri daripada pemaju swasta, agensi kerajaan atau anak syarikat Kerajaan Negeri/ Persekutuan.

    Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa Rumah Selangorku Jenis A ini masih tidak mencukupi di pasaran bagi menampung permintaan terutamanya kepada golongan B40. Ini disebabkan oleh kos pembinaan dan kos subsidi yang tinggi yang terpaksa ditanggung oleh pihak pemaju yang mana harga seunit mencecah RM70,000.00 – RM80,000.00 berbanding harga jualan RM42,000.00 seunit. Selain itu, aliran tunai (cash flow) syarikat pemaju akan terjejas dan kesukaran mendapatkan pembiayaan projek (bridging loan) daripada pihak bank. Di samping itu, Rumah Selangorku Jenis A ini mempunyai kesukaran pinjaman daripada institusi perbankan bagi pembeli berpendapatan RM3,000.00 ke bawah.

    Walau bagaimanapun, bagi memastikan Rumah Selangorku Jenis A ini berada di dalam pasaran/ di sesuatu projek pembangunan, Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa kaedah pengawalan seperti berikut :

    • Sekiranya pihak pemaju tidak menyediakan Rumah Selangorku di dalam projek mereka sebagaimana diperuntukkan di dalam Dasar Rumah Selangorku 2.0, permohonan Kebenaran Merancang bagi pembangunan perumahan harga bebas tidak boleh diproses/ diluluskan sehingga pihak pemaju menyediakan Rumah Selangorku.
    • Pihak pemaju perlu membina Rumah Selangorku secara serentak atau bersekali dengan rumah harga bebas.
    • Sekiranya pihak pemaju tidak membina Rumah Selangorku di fasa awal/ fasa pertama pembangunan, Kerajaan Negeri akan mengeluarkan ‘stop work order’/ menghentikan pengeluaran Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi pembangunan perumahan harga bebas atau lain-lain pembangunan sekiranya syarat tersebut tidak dilaksanakan.
    • Pihak pemaju perlu mempromosikan/ menyebarluaskan projek-projek Rumah Selangorku yang dibina supaya diketahui oleh rakyat jelata bagi memudahkan bakal pembeli membuat semakan/ memohon rumah tersebut.

     

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, Kerajaan Negeri sedang mengkaji kaedah yang boleh membantu Kerajaan Negeri dalam menyediakan perumahan bagi golongan B40 khususnya tanpa melibatkan dana kerajaan semata- mata tetapi juga disumbangkan oleh pihak pemaju swasta.

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga sedang dalam kajian untuk membina unit- unit rumah untuk disewakan kepada golongan B40. Program sewaan ini bagi memastikan golongan B40 mempunyai tempat tinggal dan stok rumah mencukupi serta ‘sustainable’. Sepanjang tempoh sewaan, sekiranya golongan B40 berkeupayaan untuk mendapatkan pinjaman perumahan, maka Kerajaan Negeri tiada halangan untuk golongan B40 ini untuk keluar daripada program ini dan unit-unit tersebut disewakan kembali kepada golongan B40 yang lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.