Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

70) RUMAH UNTUK BEKAS PEKERJA LADANG

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah bekas pekerja ladang yang masih belum memiliki rumah di Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan dan nasib bekas pekerja ladang di Negeri Selangor terutamanya yang telah bersara untuk mencari dan memiliki perumahan baru. Dalam membela nasib bekas pekerja ladang, kuasa Kerajaan Negeri adalah terhad. Namun begitu, melalui Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang, beberapa sesi perbincangan dengan pemilik ladang telah diadakan bagi mempertingkatkan pembangunan kawasan perladangan khusus bagi bekas pekerja ladang dengan mengambil kira syarat-syarat yang ditetapkan oleh “Estate Land Board”. Sejak tahun 2013 sehingga kini, Kerajaan Negeri telah membantu ramai pekerja ladang dalam menangani isu-isu berkaitan dan senantiasa berusaha menjaga nasib mereka sebaik mungkin. Antara kejayaan Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang adalah seperti berikut :

     

    • Ladang Bukit Rajah – Seramai 75 keluarga telah dibantu dalam memiliki rumah teres satu tingkat dengan harga diskaun di bawah portfolio Pekerja Ladang. Selain itu juga, Portfolio Pekerja Ladang telah membantu mereka untuk mendapatkan tapak kuil dan dewan komuniti sebagai kemudahan kepada mereka;
    • Ladang Bangi – Seramai 22 orang bekas pekerja ladang telah dibantu bagi mendapatkan persetujuan oleh majikan mereka untuk membina rumah kos rendah dan kos ditanggung oleh majikan itu sendiri;
    • Taman Permata Dengkil – Kerajaan Negeri telah menyerahkan 30 ekar kepada Kerajaan Pusat bagi pembinaan rumah kepada 393 orang pekerja ladang bekas pekerja ladang dari kawasan Putrajaya;
    • Ladang Duneden – Seramai 22 orang pekerja ladang telah mendapat manfaat berdasarkan perbincangan bersama majikan dan mereka bersetuju untuk membina 22 buah rumah kepada pekerja ladang serta memberikan tapak rumah ibadat;
    • Ladang Tumbok – Kerajaan Negeri telah berjaya membantu seramai 12 orang bekas pekerja ladang dalam memiliki rumah dan tapak rumah;
    • Ladang Semenyih – Kerajaan Negeri melalui perbincangan dengan majikan dan pemilik ladang berkenaan telah berjaya membantu mendapatkan rumah teres 2 tingkat dengan diskaun kepada 25 bekas pekerja ladang, tempat beribadat dan juga tapak Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) diperbesarkan; dan
    • Ladang Dusun Durian – Kerajaan Negeri telah berjaya menyelesaikan pembatalan “Rizab Melayu” yang telah dijadikan sebagai tapak perumahan kepada bekas pekerja ladang 109 orang serta tempat beribadat.

Lampiran

Tiada Lampiran.