Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

190) RUMAH UNTUK PENDUDUK FLAT TAMAN PERMATA DENGKIL

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah projek kesejahteraan rakyat ini akan boleh mula dibina?

    Untuk makluman Yang Berhormat Dengkil, projek ini adalah merupakan projek bersama di antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Pusat di mana Kerajaan Negeri hanyalah berperanan untuk menyediakan tapak tanah bagi membina perumahan yang baru kepada bekas – bekas pekerja ladang yang diarahkan keluar dari kawasan Putrajaya yang melibatkan beberapa ladang iaitu Ladang Medigley, Ladang Perang Besar, Ladang Sedgley dan Ladang Galloway di atas dasar memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja ladang. Pengambilan tanah seluas 30 ekar yang diuruskan oleh Kerajaan Negeri tersebut telah menelan kos sebanyak RM12.14 juta dan telah diselesaikan oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor di mana tanah tersebut telah diserah kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melaksanakan kerja – kerja pembangunan selanjutnya.

    Untuk sementara waktu, pekerja – pekerja  ladang tersebut telah ditempatkan di penempatan sementara di Flat Taman Permata, Dengkil, Sepang sebelum dipindahkan ke perumahan yang baru di Ampar Tenang yang akan dibina oleh KPKT di peringkat pusat.

     

    Sehubungan dengan itu, semakan yang telah dibuat mendapati bahawa pihak KPKT akan mengadakan Majlis Pecah Tanah pada 26 Julai 2017 dan perkara ini telah dimaklumkan kepada Majlis Perbandaran Sepang (MPSp). Manakala Kebenaran Merancang (KM) Projek Perumahan Rakyat Ampar Tenang, Taman

    Permata Dengkil ini telah diluluskan dengan bersyarat melalui Mesyuarat One

    Stop Centre (OSC), Majlis Perbandaran Sepang bil. 13/2017 yang telah diadakan pada 5 Julai 2017.

    Walau bagaimanapun, untuk makluman Yang Berhormat Dengkil, perkara – perkara yang berkaitan dengan pembinaan di bawah Projek Kesejahteraan Rakyat ini adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.