Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

222) RUNDINGAN PENSTRUKTURAN SEMULA AIR NEGERI SELANGOR

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan apakah perkembangan terkini proses rundingan penstrukturan air Negeri Selangor dengan syarikat konsesi dan Kerajaan Persekutuan

    Rundingan mengenai penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor telah dibuat semenjak tahun 2008 lagi.  Pada 12 Februari 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan tawaran awal sejumlah RM5.7 bilion kepada Pemegang Konsesi.  Namun demikian, kesemua Pemegang Konsesi Air telah menolak tawaran tersebut atas alasan bahawa nilai yang ditawarkan itu adalah rendah dan tidak cukup untuk menampung obligasi hutang Pemegang Konsesi.

     

    Lanjutan dari penolakan oleh Pemegang Konsesi terhadap tawaran asal tersebut, penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor telah mencapai jalan buntu.  Bagi mengatasi kebuntuan tersebut, Kerajaan Persekutuan telah memulakan semula rundingan dengan Kerajaan Negeri Selangor.  Rundingan semula ini telah bermula pada 25 Mei 2009 di mana satu Jawatankuasa Penstrukturan semula industri air negeri Selangor telah diwujudkan di peringkat Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KTTHA).  Mesyuarat Jawatankuasa Penstrukturan tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KTTHA dan dianggotai oleh agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).  Pasukan dari Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri dan anggotanya terdiri dari Y.B. Penasihat Undang-undang, Y.B. Pegawai Kewangan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri, Penasihat Kewangan kepada YAB Dato Menteri Besar, Pegawai Penyelidik kepada

    YAB Dato Menteri Besar, wakil Pejabat kepada YAB Dato Menteri Besar dan Kumpulan Darul  Ehsan Berhad (KDEB) adalah turut menjadi ahli di dalam Jawatankuasa Penstrukturan peringkat Kerajaan Persekutuan.

     

    Peranan dan Tanggungjawab jawatan kuasa penstrukturan semula industri air negeri Selangor adalah  seperti berikut:-

     

    1. Mengkaji dan menilai cadangan konsep da model penstrukturan dan opsyen yang sesuai dan praktikal untuk dilaksanakan selari dengan Akta Industri Perkhidmatan Air(Akta 655).
    2. Melaksanakan opsyen yang telah dipersetujui termasuk mengadakan rundingan dengan semua pihak yang terlibat dalam penstrukturan semula ini mengikut opsyen yang telah dipersetujui.
    3. Memperakukan hasil rundingan kepada pihak yang membuat keputusan iaitu:
    4. KTTHA memperakukan kepada Kabinet; dan
    5. Kerajaan Negeri Selangor memperakukan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
    6. Menyediakan perjanjian yang berkaitan dengan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor.

    Antara 25 hingga 29 Mei 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah membentangkan model penstrukturan semula negeri Selangor ke dalam Jawatan kuasa tersebut.  Model yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah pengambilalihan kesemua Syarikat Konsesi Air di Selangor dan seterusnya satu operator yang terdiri dari syarikat milik penuh Kerajaan Selangor akan dilantik Single Operator dalam mengendalikan perkhidmatan air secara holistik bermula dari rawatan hingga pengagihan air kepada pengguna di Negeri Selangor.

     

    PAAB turut membentangkan opsyen penstrukturan di mana SYABAS dan Puncak Niaga disatukan sebagai operator yang dilesenkan oleh SPAN untuk agihan dan rawatan manakala ABASS dan SPLASH dikekalkan sebagai operator rawatan dan diberikan authorisation oleh SPAN.

     

    Namun Jawatan Kuasa akhirnya bersetuju supaya Model Selangor digunakan di dalam rundingan bersama Pemegang Konsesi.  Lanjutan dari persetujuan ke atas Model Selangor, pasukan rundingan dengan Pemegang Konsesi telah mengujudkan Jawatan Kuasa Induk Rundingan dan Jawatan Kuasa Kerja di peringkat Negeri Selangor.  Jawatan Kuasa Induk Rundingan diketuai oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor turut dianggotai oleh wakil dari KTTHA adalah berperanan untuk mengemukakan dan merundingkan harga tawaran kepada Pemegang Konsesi. Manakala Jawatan Kuasa Kerja diketuai oleh Penasihat Kewangan kepada YAB Dato Menteri Besar Selangor dan dihadiri oleh wakil dari Syarikat Konsesi Air. Jawatan Kuasa Kerja adalah berperanan untuk membincangkan dengan wakil Syarikat Konsesi secara terperinci dari segi kewangan yang berkaitan dengan  harga yang telah ditawarkan tersebut dan seterusnya melaporkan kepada Jawatan Kuasa Induk Rundingan. Rundingan dengan Pemegang Konsesi telah dimulakan oleh Jawatan Kuasa Induk Rundingan dan Jawatan Kuasa Kerja bermula semenjak 10 Jun 2009.

     

    Segala hasil dari rundingan dengan Pemegang Konsesi akan dilaporkan kepada Jawatan Kuasa Penstrukturan Semula di KTTHA.  KTTHA telah memberikan tempoh sehingga 30 Jun 2009 untuk memuktamadkan rundingan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.