Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

335) SAHAM AIR

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan status terkini cadangan untuk mewujudkan saham air bagi manfaat rakyat Selangor?

    Dengan mengambil kira mandat yang diberikan oleh rakyat Negeri Selangor dan dalam usaha untuk merealisasikan Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor untuk kepentingan rakyat Negeri Selangor, Kerajaan Negeri Selangor telah merancang sekiranya penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor dimuktamadkan, rakyat Negeri Selangor yang juga merupakan pengguna perkhidmatan air akan diberikan pegangan saham di dalam SPV Air yang ditubuhkan.

     

    Pemberian saham tersebut adalah untuk memberi peluang kepada semua rakyat untuk turut mempunyai suara di dalam memberikan pandangan dan penambahbaikan dalam industri perkhidmatan air Negeri Selangor. Nilai dan mekanisme pemberian saham air kepada rakyat akan diperhalusi setelah penstrukturan semula dimuktamadkan.

     

    Pada ketika ini, penstrukturan semula air Negeri Selangor masih belum dimuktamadkan sepenuhnya. Perjanjian Utama yang ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor) pada 12 September 2014 adalah merupakan langkah awal ke arah memuktamadkan penstrukturan semula industri air Negeri Selangor.

     

    Dalam Perjanjian Utama tersebut, terdapat terma dan syarat yang perlu dipenuhi oleh semua pihak kepada perjanjian tersebut antaranya adalah pengambilalihan saham ekuiti oleh Air Selangor ke atas keempat-empat Syarikat Konsesi Air sedia ada.

     

    Dalam hal ini, Air Selangor pada 11 November 2014 baru mematerai Perjanjian Pembelian Saham dengan Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) untuk menjual 100% saham ekuiti yang dipegang di dalam Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan SYABAS kepada Air Selangor.

     

    Bagi memuktamadkan usaha penstrukturan semula ini, pengambilalihan saham ekuiti di dalam Konsortium ABASS Sdn Bhd dan SPLASH hendaklah turut diselesaikan terlebih dahulu.

     

    Pada masa yang sama juga, rundingan sedang dijalankan dengan PAAB bagi memuktamadkan Perjanjian Faciliti dan Perjanjian Pemindahan Aset. Penyusunan semula di antara Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, SYABAS, Konsortium ABASS Sdn Bhd dan SPLASH oleh Air Selangor hanya boleh dimuktamadkan sepenuhnya setelah semua Syarikat Konsesi Air sedia ada (PNSB, SYABAS, ABASS dan SPLASH) diambilalih oleh Air Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.