Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

144) SAMAN AKIBAT CATUAN AIR

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Datuk Abdul Shukur Bin Idrus

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kerajaan bersedia jika rakyat menyaman negeri kerana gagal menyediakan bekalan air mencukupi sehingga menjejaskan kehidupan mereka?

    Kerajaan Negeri Selangor sedia maklum akan masalah kekurangan bekalan air boleh mendatangkan kesan dan risiko yang besar dari segi sosial, ekonomi dan politik serta imej kerajaan.  Di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS, Klausa 7.4(b) memperuntukkan seperti berikut:-

    “Sekiranya SYABAS menjangkakan atau meramalkan kekurangan dalam bekalan air mentah, SYABAS hendaklah memaklumkan kepada Kerajaan Negeri Selangor secara bertulis tentang kekurangan itu, dan juga cadangan SYABAS mengenai bagaimana kekurangan itu dapat di atasi. Notis dan cadangan itu hendaklah dihantar kepada Kerajaan Negeri Selangor sekurang-kurangnya tiga (3) tahun sebelum tarikh yang dijangkakan atau diramalkan berlakunya kekurangan air mentah. Kerajaan Negeri Selangor tidak diwajibkan untuk melaksanakan cadangan SYABAS tersebut atau mana-mana bahagian darinya dan berhak atas budi bicara dan pertimbangan sendiri untuk menentukan cara-cara mengatasi kekurangan itu”.

    Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menafikan keperluan untuk menyediakan air yang mencukupi adalah penting dalam mengurangkan gangguan kepada pengguna.  Namun demikian, dalam keadaan yang mana bekalan air adalah terhad, adalah merupakan perkara penting untuk memastikan bahawa operator yang dipertanggungjawabkan untuk  agihan dan pembekalan air kepada pengguna merupakan operator yang benarbenar kompeten, cekap, berkemahiran dan berkemampuan dalam melaksanakan tanggung jawab tersebut.

    Pada masa yang sama, keadaan, penyediaan sumber air mentah adalah turut dipengaruhi oleh keadaan cuaca.  Dalam keadaan di mana catuan dilakukan pada awal tahun 2014, ia dalah berpunca dari faktor diluar kawalan Kerajaan Negeri.

    Kedudukan paras simpanan air mentah di Empangan Sungai Selangor terus menurun hingga ke paras di bawah 40% di mana setakat 16 April 2014, simpanan air mentah di Empangan Sungai Selangor adalah sebanyak 87.12 Juta Meter Padu (37.88%). Paras air di empangan Sungai Selangor turun pada kadar 0.62% hingga 1% setiap hari. tanpa kawalan pelepasan, paras empangan air mentah di sungai Selangor dianggarkan boleh menurun kepada 30% dalam tempoh 7 hari sahaja.

    Kerajaan Negeri Selangor membuat keputusan meneruskan catuan dalam sebagai langkah untuk memastikan takungan Empangan Sungai Selangor dapat ditingkatkan bagi menghadapi musim kering yang dijangkakan itu.

    Penurunan paras empangan itu adalah disebabkan oleh keadaan cuaca panas yang luar biasa ditambah dengan pengurangan kadar hujan yang ketara.  Keadaan  cuaca tersebut menyebabkan empangan ini menerima hujan yang sedikit sejak dua bulan yang lalu berbanding dengan tahuntahun yang lepas seperti yang dapat dilihat seperti jadual di bawah:

    JADUAL PERBANDINGAN HUJAN BAGI TAHUN 2007 HINGGA 2014 UNTUK

    BULAN JANUARI, FEBRUARI, MAC, OKTOBER, NOVEMBER DAN DISEMBER

    TAHUN JUMLAH HUJAN BULANAN      
    JANUARI FEBRUARI MAC   OKT NOV DEC
    2007 193.30 46.65 234.45 286.87 372.73 268.65
    2008 165.54 83.99 295.11 272.22 419.77 62.00
    2009 91.0 99.56 325.13 64.00 84.82 50.40
    2010 162 82 208 115.43 392.24 151.84
    2011 190 50 183 251.66 274.80 185.54
    2012 106 217 199 245.78 496.50 223.57
    2013 96 149 107 385.71 210.07 139.19
    2014 102 2 54      

    Walaupun hujan banyak direkodkan pada bulan April tersebut, namun hujan tersebut tidak turun di dalam kawasan takungan Empangan Sungai Selangor. Sehingga 04 Jun 2014, walaupun proses pembenihan awan dilaksanakan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), hujan yang direkodkan turun di dalam takungan Empangan Sungai Selangor hanya sebanyak 27mm.

    Lanjutan dari keputusan Kerajaan Negeri Selangor mengadakan catuan dahulu, takungan simpanan Empangan Sungai Selangor telah dapat ditingkatkan dari 37.88% pada 16 April 2014 kepada 43.39% pada 06 Jun 2014 di mana purata peningkatan dianggarkan sebanyak 0.1 – 1% setiap hari.  Dengan peningkatan takungan simpanan di Empangan Sungai Selangor, Kerajaan Negeri bersedia menghadapi musin kering yang dijangka akan melanda dan gangguan bekalan air kepada pengguna dapat diminimakan.

    Sekiranya tiada catuan dibuat ketika itu, maka penurunan paras Empangan Sungai Selangor tidak akan dapat dikawal dan akan terus menyusut hingga ke paras yang kritikal.  Dalam paras kritikal, ditambah dengan kedatangan monsun Barat Daya yang dijangkakan pada bulan Jun 2014 dan jangkaan el nino yang akan melanda, adalah mustahil untuk memenuhkan semula takungan Empangan Sungai Selangor. Keadaan ini jika berlaku akan lebih mendatangkan kesulitan kepada rakyat seluruhnya.  Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor membuat keputusan meneruskan catuan dalam bulan April sebagai langkah untuk memastikan takungan Empangan Sungai Sleangor dapat ditingkatkan bagi menghadapi musim kering yang dijangkakan itu.

Lampiran

Tiada Lampiran.