Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

263) SAMPAH DI ATAS PERMUKAAN LAUT PERSISIRAN PANTAI DAN SUNGAI

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Loh Chee Heng

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah cara penyelesaian jangka pendek dan panjang Kerajaan Negeri untuk mengekalkan kebersihan permukaan laut, persisiran pantai dan sungai khususnya untuk daerah Sabak Bernam, Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sepang?

    LUAS telah menghasilkan Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu bagi kelima-lima daerah yang mempunyai pantai di mana terdapat Pelan Tindakan yang perlu dilaksanakan oleh semua pihak berkepentingan. Antara isu yang diberi penekanan di dalam Pelan Tindakan tersebut adalah berkenaan sisa pepejal dan pencemaran air. Bagi penyelesaian jangka pendek, LUAS menganjurkan program Pantai Angkat yang bertujuan untuk mendidik komuniti setempat akan kepentingan ekosistem pantai dan sumber marin, mewujudkan rasa ‘sense of belonging’ dan rasa cinta terhadap alam sekitar. Selain itu, pemasangan perangkap sampah juga merupakan antara kaedah bagi mengawal sampah sarap daripada hanyut ke permukaan laut. Manakala penyelesaian jangka panjang, penguatkuasaan yang lebih tegas perlu dijalankan terutamanya di kawasan hulu sungai di mana kebanyakan sampah yang hanyut di kawasan muara datangnya dari kawasan hulu sungai dan perbandaran.

    LUAS juga sedang menyediakan Laporan Pesisir Pantai Negeri yang merangkumi maklumat-maklumat berkaitan pengurusan pantai dan kawasan perairan dari aspek kualiti dan kuantitinya, punca-punca utama pencemaran, kaedah pengurusan sisa pepejal/tapak sanitari, navigasi, rekreasi, program kesedaran awam seperti kempen/seminar dan segala maklumat yang berkaitan dengan kawasan kajian tersebut.

     JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN NEGERI SELANGOR

    Cara penyelesaian jangka pendek dan panjang Kerajaan Negeri untuk mengekalkan kebersihan permukaan laut, persisiran pantai dan sungai khususnya untuk daerah Sabak Bernam, Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sepang adalah seperti berikut;

    Langkah Jangka Pendek;

    • Memperluas dan memperketatkan lagi penguatkuasaan ke atas pembuangan sampah secara haram di persisiran pantai oleh pihak LUAS, PBT, JAS dan agensi penguatkuasaan yang lain.
    • JPS sentiasa memantau dan memastikan semua struktur pantai dalam keadaan baik dan menjalankan fungsinya dengan baik.
    • Pemantauan dari aspek kebersihan dari peniaga-peniaga di persisiran pantai sentiasa dijalankan oleh pihak PBT dengan lebih kerap.

    Langkah Jangka Panjang :

    • Kajian secara menyeluruh di persisiran pantai dan sungai khususnya masalah yang dihadapi di persisiran pantai termasuk hakisan pantai dan pemasangan perangkap sampah di sungai sedang diadakan
    • Aktiviti pencegahan seperti penguatkuasaan dan pemeriksaan secara menyeluruh oleh agensi penguatkuasaan sedang giat dijalankan dari masa ke semasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.