Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

255) SAMPAH RENTAS SEMPADAN PBT

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan yang akan diambil oleh kerajaan untuk menangani isu sampah haram rentas sempadan PBT (misalnya sampah dari kedai tanpa lesen di PBT A dibuang di PBT B)?

    Antara tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menangani isu sampah haram yang dibuang merentasi sempadan adalah PBT akan menyiasat sisa sampah haram yang dibuang dengan lebih terperinci bagi mengenal pasti alamat premis melalui dokumen-dokumen yang dibuang atau bahan-bahan proses premis. Sekiranya PBT mendapati alamat premis adalah dari luar kawasan pentadbirannya, maklumat tersebut akan disalurkan kepada PBT berkenaan untuk mengambil tindakan penyiasatan dan PBT boleh mengeluarkan Notis Kompaun kepada pemilik premis serta PBT boleh menarik lesen perniagaan sekiranya didapati melanggar syarat lesen yang ditetapkan. PBT juga boleh menyita kenderaan pengangkut sampah yang melakukan kesalahan serta mengeluarkan kompaun dan kos operasi penguatkuasaan.

    Selain itu, kepada pemilik tanah yang membiarkan / membenarkan sampah dibuang ke tanah miliknya, PBT boleh mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan amaran, kompaun dan Notis berdasarkan undang-undang berikut:-

    1. mengeluarkan Notis di bawah Seksyen 82 Borang B, Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) kepada pemilik tanah supaya kacau ganggu dihapuskan;
    2. mengeluarkan Notis Kerja Tanah di bawah Seksyen 70A, Akta Jalan Parit Dan Bangunan (Akta 133); dan
    3. mengeluarkan Notis di bawah Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172) kepada pemilik tanah supaya memulihkan tanah kepada keadaan asal.

    Manakala Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) dan Pentadbir Tanah juga boleh mengambil tindakan ke atas pemilik tanah tapak pelupusan sampah haram dengan mengeluarkan Notis 7A kepada pemilik agar memulihkan pelanggaran syarat tanah tersebut. Seterusnya, Notis 7B akan dikemukakan bagi mendapatkan pengesahan terhadap pemulihan yang telah dibuat. Sekiranya selepas tempoh yang diberikan pemulihan tanah tidak dilaksanakan serta Pemilik Tanah Berdaftar masih ingkar dan berdegil, tindakan perampasan tanah oleh Pihak Berkuasa akan dilakukan di bawah Notis 8A, Seksyen 130 Kanun Tanah Negara 1965.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.