Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

68) SASARAN DAN PERANCANGAN SEMPENA TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2020

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah sasaran dan perancangan kerajaan bagi meningkatkan jumlah pelawat ke Negeri Selangor sempena Tahun Melawat Malaysia 2020?

    Sasaran bagi kedatangan pelancong ke Malaysia yang telah disasarkan oleh pihak Tourism Malaysia pada tahun 2020 adalah seramai 30 juta orang pelancong dalam dan luar Negara. Manakala, sasaran kedatangan pelancong ke Negeri Selangor yang telah disasarkan oleh pihak Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor adalah sebanyak 7.9 juta pelancong dalam dan luar Negara.

    Bagi meningkatkan kedatangan pelawat dan pelancong ke negeri Selangor. Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor akan memfokuskan skop pelancongan domestik ataupun inbound melalui penganjuran program promosi. Antara program yang telah dijalankan dan akan diteruskan pada tahun 2020 adalah seperti seperti Program Pameran MATTA Fair, Program Pameran MITA Fair, Program Promosi Pesona Selangor Jelajah Negeri dan Skuad Kembara Sekolah.

    Bagi pasaran antarabangsa, beberapa pasaran utama akan difokuskan seperti, China, India, Timur Tengah, Eropah, Jepun dan Negara-Negara ASEAN. Pihak Tourism Selangor bekerjasama rapat dengan pihak Tourism Malaysia dan akan menyertai pameran-pameran diperingkat antarabangsa yang berkonsepkan B2B (Business to Business) & B2C (Business to Consumer) seperti World Tourism Mart -London (WTM), ITB Berlin, Arabian Travel Market (ATM), dan Program Roadshow untuk beberapa Negara yang terpilih bagi mempromosi produk-produk dan pakej-pakej pelancongan di negeri Selangor khususnya.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor juga mempergiatkan penyaluran maklumat produk pelancongan melalui platform online dan digital. Pihak Tourism Selangor telah dan sedang melancarkan platform penyaluran maklumat-maklumat di media sosial di dalam bahasa asal pasaran-pasaran pelancong yang berpotensi yang tinggi dalam meningkatkan kedatangan pelancong ke Negeri Selangor seperti Jepun, China, dan Negara-Negara Timur Tengah. Antara usaha yang telah dan sedang dijalankan adalah seperti berikut:-

    • Pelancaran Kempen Digital dan online bagi pasaran Jepun melalui platform rasmi Tourism Selangor seperti Facebook, Twitter, Instagram dan Laman Web Direktori Pelancongan dalam bahasa Jepun.
    • Pelancaran Kempen Promosi Digital melalui Facebook Rasmi Tourism Selangor dalam bahasa Arab.
    • Pelancaran Kempen Promosi Digital bagi pasaran China, Hongkong dan Taiwan melalui Facebook Bahasa Mandarin, Weibo dan Wechat.

    Selain itu, usaha penjenamaan laman web Tourism Selangor kepada Selangor.Travel juga merupakan salah satu langkah proaktif Tourism Selangor bagi memastikan saluran maklumat pelancongan dapat disampaikan secara efektif dan berkesan di pasaran global.

Lampiran

Tiada Lampiran.