Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

118) SEKOLAH MENENGAH DAN RENDAH YANG BARU DI MERU

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bilakah sebuah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah yang baru akan dibina di Meru bagi mengatasi kesesakan pelajar di SK Sungai Binjai dan SMK Meru sekarang ini?

    Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) amat peka dan mengambil maklum keperluan mendesak bagi kemudahan pendidikan khasnya di kawasan Meru Klang. Kepesatan pembangunan dan sektor hartanah di kawasan Meru amat pantas dan ada kalanya tidak seiring dengan keperluan pembinaan sekolah di persekitaranya. Di kawasan Meru telah ada tiga buah sekolah kebangsaan iaitu SK Sg. Binjai, SK Meru dan SK Meru 2. Namun seperti mana sedia maklum bahawa pembangunan yang pesat dan pertambahan taman perumahan di Meru serta persekitaranya mengundang pertambahan penduduk yang menyebabkan kepadatan murid di SMK Meru dan SK Sg. Binjai. Kawasan persekitaran Meru iaitu lebih spesifik lagi penempatan penduduk di persekitaran Meru adalah pembangunan perumahan mikro yang menyebabkan tiada serahan tanah pemaju untuk rizab pendidikan mengikut piawaian yang termaktub dalam dasar Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD). Walau bagaimanapun beberapa tindakan telah diambil oleh JPNS untuk mengatasi masalah ini. Antara langkah yang telah diambil untuk mengatasi kesesakan murid di SK Sg. Binjai ialah membuat semakan dan telah mengenal pasti tanah serahan pemaju bagi pembinaan SK Klang Sentral yang terletak lebih kurang 5 kilometer dari Meru. Perolehan tanah bagi cadangan sekolah ini masih dalam proses perolehan peruntukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) seterusnya kepada kelulusan bajet pembinaan dalam Rancangan Malaysia ke-12. Ini diharap dapat menyuraikan kepadatan murid di SK Sg. Binjai, Meru dan kemudahan sekolah kepada penduduk sekitar Klang Sentral apabila siap dan beroperasi.

    Perkara yang sama juga berlaku kepada masalah tanah untuk pembinaan SMK Meru 2 yang mana tiada tanah serahan pemaju di kawasan tersebut untuk membina sekolah bagi menyuraikan kesesakan murid di SMK Meru. Antara langkah penyelesaian yang diambil sebelum ini ialah membina SMK Bukit Kapar. Pada tahun 2018 SMK Bukit Kapar telah mula dibuka dan beroperasi dengan harapan dapat menyuraikan kepadatan murid di SMK Meru. Namun ia hanya dapat menampung murid sekitar Bukit Kapar dan sebahagian kecil sahaja penduduk di sebelah Meru Utara. Sehubungan dengan itu tindakan seterusnya Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) telah berusaha dalam perolehan tanah dengan cara membuat pengambilan tanah individu untuk cadangan pembinaan SMK Meru 2 bagi mengatasi isu kepadatan di SMK Meru ketika ini. Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) juga telah berusaha memohon peruntukan pembangunan untuk pembinaan Bilik Darjah Modular IBS dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk penyelesaian jangka pendek sementara kelulusan perolehan tanah bagi tujuan pembinaan SMK Meru 2. Sebagai langkah penyelesaian pilihan seterusnya, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) juga telah mengenal pasti tanah serahan pemaju untuk rizab pendidikan di Klang Sentral bagi pembinaan SMK dan SK Klang Sentral yang terletak dalam jarak trafik 5 km daripada SMK Meru. Ini juga diharap dapat menyuraikan kepadatan murid di SMK Meru dan kemudahan sekolah kepada penduduk sekitar Klang Sentral. Proses perolehan tanah bagi cadangan kedua-dua sekolah ini juga telah mula dilaksanakan dan masih dalam proses perolehan peruntukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) serta seterusnya kepada kelulusan bajet pembinaan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

Lampiran

Tiada Lampiran.