Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

29) SEKOLAH TAMIL DESA COALFIELD YANG PEMBINAANNYA SUDAH LAMA TERGENDALA

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Idris Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah pembinaan sekolah ini akan siap?

    Sekolah Tamil  Desa  Coalfield  merupakan  projek  pembangunan  yang dirancang untuk menjaga dan memberi peluang kepada anak – anak pekerja ladang dalam mendapatkan pendidikan yang sempurna dalam menjamin masa depan mereka. Dengan adanya Sekolah Tamil Desa Coalfield ini secara tidak langsung dapat meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru dan para pelajar dengan adanya kelengkapan – kelengkapan yang serba baru dan lengkap.

     

    Perancangan dan pembangunan sekolah tersebut tergendala seketika berikutan isu tanah oleh pemaju kepada kerajaan negeri. Isu tanah ini merangkumi semua aspek antaranya adalah permohonan pewartaan daripada Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), proses pembangunan dan susun atur serta keperluan tapak yang mengikuti spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya dan juga kelulusan – kelulusan berkaitan daripada agensi dan jabatan serta Pihak Berkuasa Tempatan yang terlibat sebelum kerja – kerja di atas tanah dapat dilaksanakan secara fizikal.

     

    Perkembangan terkini adalah Mesyuarat Penyelarasan Projek Pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Coalfield telah diadakan dan isu – isu berkaitan dapat diselesaikan bersama. Mesyuarat telah mengenalpasti tida

    (3) elemen penting yang perlu diambil kira bagi menjayakan pelaksanaan projek yang melibatkan status tanah, peruntukan Kerajaan Negeri dan skop kerja. Projek Pembinaan Sekolah Tamil Desa Coalfield ini telah dipersetujui untuk dilaksanakan secara Reka & Bina mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

     

    Kelulusan untuk melantik kontraktor mengikut kaedah perolehan Tender Terhad sedang dijalankan dan menunggu kelulusan Perbendaharaan Negeri Selangor. Tarikh tertentu dalam menyiapkan projek Pembinaan Sekolah Tamil Desa Coalfield tidak dapat diberikan secara spesifik kerana masih masih menunggu kelulusan dan melibatkan beberapa agensi dan jabatan serta pihak berkepentingan yang sedang berusaha untuk menyelesaikan permasalahan di bawah bidang kuasa masing – masing.

     

    Namun begitu, Kerajaan Negeri Selangor bersama agensi dan jabatan terlibat memandang serius akan perkara ini dan sedaya upaya untuk memastikan

     

    projek pembinaan Sekolah Tamil Desa Coalfield ini dapat berjalan di tapak di dalam masa yang terdekat ini.

     

    Walau bagaimanapun, kerjasama antara Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Tanah Dan Galian Selangor (PTGS), Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Selangor (PTDKS), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) serta Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) hingga kini sedang bergerak seiringan dalam memastikan permasalahan di bawah bidang kuasa masing – masing dapat diselesaikan dengan segera bagi memastikan projek pembangunan Sekolah Tamil Desa Coalfield dapat berjalan dengan lancar.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.