Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

11) SELANGOR MARITIME GATEWAY

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini usaha pemuliharaan Sungai Klang menerusi Projek Selangor Maritime Gateway (SMG)?

    Kerja-kerja pembersihan masih giat dilaksanakan di bawah projek SMG. Sehingga kini, statistik kutipan sampah mencatatkan penurunan sebanyak kira-kira 35% iaitu dengan purata sebanyak 1,400 tan sebulan yang dicatatkan pada tahun 2016 & 2017 kepada 900 tan sebulan pada masa kini.

    Pihak Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) telah menjalinkan kerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpengkalan di The Netherlands iaitu The Ocean Cleanup (TOC) pada April 2019 yang lalu. Objektif utama kerjasama ini adalah untuk meningkatkan lagi kecekapan operasi pembersihan di Sungai Klang dengan pengaplikasian teknologi terkini daripada pihak TOC iaitu The Interceptor, yang kini sudah mula beroperasi di kawasan Pengkalan Batu, Klang pada pertengahan Ogos 2019. Kerjasama ini juga telah menunjukkan bahawa projek SMG telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

     

    Dua (2) daripada lima (5) projek pemangkin di bawah fasa 1, Projek Pembangunan Selangor Maritime Gateway (SMG) iaitu projek penambahbaikan Taman Awam Pengkalan Batu dan pembangunan Mangrove Point telah mula dilaksanakan masing-masing pada bulan Julai dan Ogos 2019 yang lalu dan dijangka siap menjelang suku ke-2 tahun 2020. Tiga (3) lagi projek komersil yang lain iaitu pembangunan Grand Bazaar, Cultural Village & Retreat Resort serta projek pemuliharaan bekas tapak pelupusan sampah di Telok Kapas akan bermula menjelang suku-1 tahun 2020. Kelima-lima projek ini akan mewujudkan satu ekosistem perniagaan yang baharu dan kondusif di kawasan-kawasan yang terlibat dan seterusnya akan mengangkat Sungai Klang sebagai kawasan tumpuan pembangunan dan pelancongan yang baharu di Selangor, khususnya di kawasan Klang.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.