Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013

144) SELIAAN ZON INDUSTRI

Tahun: 2013

Sesi: 3

Isu: Perindustrian

Adun: Y.B. Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzwan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Pembangunan Kampung Baru di dalam mengatasi kekangan seliaan di zon industri kerana kekurangan dana serta persepsi pedagang luar negara yang mengatakan bahawa negara-negara jiran lebih baik langkah seliaannya di zon- zon industri mereka agar penambahan modal asing akan bertambah?

    Dalam membantu pihak industri bagi menangani isu infra yang dihadapi, pihak Jawatankuasa Tetap berperanan membantu Pihak Berkuasa Tempatan bagi mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan melalui MIDA.

     

    Peruntukan yang disediakan ini khusus untuk menaik taraf dan menyelenggara kemudahan infra seperti jalan, jambatan, tempat letak kenderaan berpusat, perparitan dan saliran, menaik taraf kemudahan guna sama seperti premis perniagaan dan medan selera yang dibina oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan memperbaiki kemudahan lampu jalan dan papan tanda asas. Namun begitu peruntukan ini hanya untuk kawasan industri yang sedia ada, yang telah digazetkan sebagai zon industri sama ada dibangunkan atau diserah milik kepada Kerajaan Persekutuan/Negeri, masih beroperasi dan terletak di lokasi yang strategik dan berdaya saing untuk menarik pelabur baru dan mengekalkan pelabur sedia ada. Sehingga kini sejumlah RM 41,167,459.00 telah diluluskan oleh pihak Kerajaan Persekutuan untuk Negeri Selangor sejak 2011 hingga 2013.

     

    Bagi membantu menyelesaikan isu-isu yang berbangkit di kawasan perindustrian yang tidak menepati kriteria untuk mendapatkan peruntukan tersebut, pihak Jawatankuasa Tetap dengan kerjasama Jabatan – Jabatan Teknikal membantu menyelesaikan isu-isu berbangkit melalui sumber peruntukan yang ada.

     

    Dalam usaha menyediakan kawasan industri yang selesa kepada para pelabur, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Industrial Park Management Committee (IPMC) di setiap kawasan Pihak Berkuasa Tempatan bagi memantau isu-isu yang berbangkit. Mesyuarat IPMC diadakan setiap 3 bulan dan dipengerusikan bersama oleh Tuan YDP dan Pengerusi FMM Kawasan yang berkaitan.

     

    Melalui mesyuarat IPMC ini, pihak industri berpeluang untuk mengutarakan isu secara terus kepada pihak Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan – Jabatan Teknikal untuk diambil tindakan sewajarnya.

     

    Perlaksanaan mesyuarat IPMC ini dipantau oleh pihak Jawatankuasa Tetap. Prestasi dan status perlaksanaan mesyuarat IPMC ini dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap yang diadakan. Bagi isu-isu yang tidak dapat diselesaikan di peringkat Jabatan Teknikal akan dibentangkan kepada Kerajaan Negeri oleh pihak Jawatankuasa Tetap untuk pertimbangan dan kelulusan langkah-langkah penyelesaian bagi isu yang berbangkit.

     

    Di peringkat Kerajaan Tempatan pula, Pihak Berkuasa Tempatan dari masa ke semasa terus memantau dan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan – kawasan perindustrian yang ada.

Lampiran

Tiada Lampiran.