Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

184) SEMINAR MAQASSID SYARIAH

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah Kerajaan Negeri ingin melaksanakan saranan-saranan dalam Seminar Maqassid Syariah anjuran Kerajaan Negeri Selangor?

    Maqasid Syariah atau tujuan Syariah adalah satu konsep penting dalam Islam bagi melihat hubungan dan kepentingan ekonomi sesebuah negara yang bersesuaian dengan konsep Islam yang bersandarkan kepada Al-Quran dan AsSunnah. Maqasid Syariah  juga menerangkan tentang pembentukan dan penyusunan dasar dan kaedah mualamat yang adil bertujuan melindungi kepentingan semua pihak.

    Selaras dengan konsep Merakyatkan Ekonomi Selangor atau MES, Maqasid Syariah menyarankan untuk tidak menyekat kebebasan manusia mencari rezeki dan mengelakkan daripada kegiatan yang boleh merugikan orang lain. MES juga menggunakan pendekatan yang sama di mana pelbagai fasa program dan aktiviti  telah dilaksanakan dan dirancang supaya pengagihan hasil ekonomi negeri diberikan secara sama rata kepada semua penduduk.

    Maqasid Syariah juga menjamin kemaslahatan atau kebaikan kepada semua manusia dan menghindarkan kemudaratan atau keburukan yang berlaku kepada manusia. Terdapat lima (5) teras atau konsep Masaqid Syariah yang sejajar dengan dasar dan polisi Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat. Pertama, konsep pemeliharaan harta dengan mengamalkan penguasaan harta secara halal dengan menjauhi perbuatan riba, perjudian, rasuah dan penipuan dalam urusan jual beli amat ditekankan di dalam pelaksanaan Maqasid Syariah. Konsep ini seiring dengan polisi Kerajaan Negeri dengan Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan (SELCAT) dan Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Mengenai Panduan Perbelanjaan Berhemah yang bertujuan memastikan tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan kewangan atau fizikal berlaku di negeri Selangor.

    Kedua, Maqasid Syariah menekankan pemeliharaan agama dan beriman kepada tuhan dengan membebaskan minda daripada dibelenggu perkara khurafat, tahyul, kemunafikan dan kesyirikan. Ini juga selari dengan program pembangunan Modal Insan seperti S.P.I.E.S. yang mengutamakan pembangunan rohani dan jasmani ke seluruh genap lapisan rakyat di negeri Selangor terutama golongan muda dan belia.

    Ketiga, Maqasid Syariah amat mementingkan pemeliharaan akal fikiran demi menjamin kemurnian fikiran dan kewarasan akal. Konsep ini menekankan manusia menjadi Khalifah muka bumi yang bertanggungjawab, mampu menilai baik buruk dalam menjamin kesejahteraan alam serta menambah ilmu pengetahuan serta mengamalkan apa yang dipelajari. Mengambil asas tersebut, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri sebagai tanggungjawab memelihara kesejahteraan sumber alam negeri Selangor dan diolah kepada pulangan yang menguntungkan negeri Selangor kembali.

    Teras yang keempat yang ditekankan oleh Maqasid Syariah adalah berkaitan pemeliharaan manusia sesama manusia. Ini bagi menjamin keselamatan nyawa dan anggota tubuh badan dan mengelak perbuatan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan anggota tubuh badan. Di dalam urus tadbir Kerajaan Negeri amat mementingkan kesamarataan jantina dan hak bersuara. Ini diterjemahkan lagi dengan penglibatan golongan wanita menjadi wakil dalam Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, serta peluang bersuara kepada golongan belia dan muda melalui penubuhan Sekretari Muda Negeri Selangor di bawah Menteri Besar Selangor.

    Teras yang terakhir dan kelima adalah berkaitan pemeliharaan keturunan dengan menjaga dan menjamin kehormatan dan maruah diri. Kemuliaan dan keperibadian seorang individu adalah dengan menghindari zina, fitnah, berbohong, dan mencuri. Kerajaan Negeri tidak pernah mengabaikan kebebasan menganut dan beragama. Tujuan adalah bagi memantapkan nilai-nilai keagamaan di dalam setiap rakyat negeri Selangor tanpa mengira anutan agama. Pelbagai program-program keagamaan seperti Majlis Berbuka Puasa & Bersahur Perdana bersama Y.A.B Dato’ Menteri Besar, penubuhan Majlis Gabungan Penganut Agama Bukan Islam Negeri Selangor serta pelbagai sambutan perayaan pelbagai kaum diraikan di negeri Selangor dengan harmoni dan aman damai.

Lampiran

Tiada Lampiran.