Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

268) SISTEM PENGANGKUTAN DAN PERHUBUNGAN AWAM

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang telah Kerajaan Selangor kaji dan bertindak untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas di DUN Teratai?

    Kesesakan jalan raya sering berlaku di kawasan padat terutamanya di kawasan bandar termasuk di DUN Teratai. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar. Antaranya adalah keadaan jalan raya yang tidak dapat menampung jumlah kenderaan yang banyak pada satu-satu masa selain dari aktiviti penyelenggaraan jalan seperti kerja-kerja membaik pulih jalan raya yang rosak. Di samping itu, kurangnya keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan bas dan teksi, dan rangkaian sistem rel yang tidak menyeluruh turut menjadi faktor peningkatan penggunaan kenderaan individu yang akhirnya mendorong kepada masalah kesesakan lalu lintas di jalan raya.

     

    Kerajaan Negeri bersama Pihak Berkuasa Tempatan sentiasa memastikan pembangunan infrastruktur pengangkutan awam direncanakan sebaik mungkin demi menjaga keselamatan dan keharmonian rakyat. Atas dasar kepedulian kepada rakyat, Kerajaan Negeri menyediakan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor dengan mencadangkan lebih banyak pembangunan infrastruktur pengangkutan awam diberi keutamaan selaras dengan rancangan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama berbanding kenderaan persendirian dengan sasaran nisbah minima pengangkutan awam kepada penggunaan kenderaan persendirian ialah 60 : 40 menjelang 2035.

     

    Kerajaan Negeri sedar tentang keperluan memperbaiki sistem pengurusan trafik  di Negeri Selangor. Di samping langkah-langkah penguatkuasaan lalu lintas, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan telah mewajibkan penyediaan pelan pengurusan lalu lintas yang teratur bagi setiap perancangan pembangunan baru supaya dapat mengenal pasti beberapa penyelesaian alternatif atau penambahbaikan untuk mengatasi masalah pengurusan lalu lintas di sesuatu kawasan.

     

    Usaha Kerajaan Negeri dalam menyediakan perkhidmatan Bas Smart Selangor   di setiap PBT juga merupakan satu alternatif bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan masyarakat sekali gus dapat mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya yang menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas

Lampiran

Tiada Lampiran.