Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

253) SISTEM PENGANGKUTAN DI SELANGOR

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Mat Shuhaimi Bin Shafiei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kerajaan Negeri telah mengumumkan seluruh Selangor akan dihubungkan dalam tempoh satu jam semasa sidang DUN lepas. Jelaskan perkembangan cadangan ini dan bilakah ia akan dilaksanakan

    Sistem pengangkutan awam yang lebih menyeluruh di Negeri Selangor dengan menghubungkan kawasan yang dikenal pasti dalam tempoh satu (1) jam merupakan hasrat dan fokus penting Kerajaan Negeri.

    Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2009 Kerajaan Negeri Selangor yang telah diumumkan, sistem pengangkutan awam merupakan salah satu perkara penting yang diberi tumpuan khusus. Antara program penting yang menjadi teras adalah seperti berikut :

     

    1. Memastikan pengukuhan sistem pengangkutan awam di Negeri Selangor dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
    2. Modal Split dari 90:10 ke 50:50.
    3. ‘One Hour Public Transport Model’ iv) Menyambung Laluan LRT dari Kelana Jaya ke Klang
    4. Pengangkutan Awam Bersepadu (Bas, Teksi, LRT diintegrasikan dalam terminal pengangkutan awam).
    5. Menambah penyediaan sistem pengangkutan ke seluruh kawasan dalam Negeri Selangor.
    6. Menambah perkhidmatan ‘bas henti-henti’ antara bandar dalam Negeri Selangor.

     

    Dalam usaha merangka sistem pengangkutan yang lebih bersepadu dan menyeluruh di Negeri Selangor khususnya, Kerajaan Negeri juga telah menjalankan tindakan awal seperti berikut :

     

    1. Satu Mesyuarat Pengangkutan Awam telah diadakan pada 21 Mei 2009. Kerajaan Negeri telah menjemput Syarikat Kejuruteraan dan Pengangkutan Siemens – Malaysia untuk memberi penerangan mengenai cadangan dan pandangan terhadap pengangkutan awam. Kerajaan Negeri juga turut menjemput pakar-pakar profesional yang berkaitan dari Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk memberi pendapat dan komen serta berkongsi idea untuk mendapatkan  model terbaik sistem pengangkutan awam di Negeri Selangor.
    2. Di bawah program Urban Redevelopment, Kerajaan Negeri telah menjemput beberapa pakar runding untuk membentangkan cadangan program pembangunan semula di kawasan yang dikenal pasti. Sistem pengangkutan awam merupakan teras utama dalam melaksanakan pembangunan semula.
    3. Dalam Rancangan Struktur (RS) dan Rancangan Tempatan (RT), penyediaan terminal pengangkutan bersepadu dan laluan pengangkutan awam terutama bas diberi penekanan khusus.
    4. Kerajaan Negeri juga telah memberi pandangan dan cadangan sistem pengangkutan awam dalam Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020, supaya jajaran pengangkutan awam berasaskan rel melewati ke sempadan DBKL dan pusat-pusat pertumbuhan dalam kawasan lima (5) Pihak Berkuasa Tempatan terlibat iaitu MBPJ, MPSJ, MPKj, MP Selayang dan MPAJ.