Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

132) SISTEM SMART SELANGOR FIRST HOMES BUYERS

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan Sistem Smart Selangor First Homes Buyers dan rancangan seterusnya? Sila senaraikan nombor unit yang diberi oleh Kerajaan di bawah skim ini dan lokasi unit-unit ini.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Smart Selangor First Home Buyer merupakan skim pembiayaan oleh Kerajaan Negeri yang akan diberikan kepada pembeli rumah pertama yang ditawarkan Rumah Selangorku. Melalui Skim ini, Kerajaan Negeri akan menyediakan bayaran pendahuluan sebanyak 10% daripada harga rumah dan baki 90% pembeli perlu mendapatkan pembiayaan selebihnya daripada pihak bank/institusi kewangan. Menerusi Bajet 2018, Kerajaan Negeri telah bersetuju menyediakan peruntukan sejumlah RM15 juta untuk skim ini yang akan diuruskan oleh PKNS dan seterusnya PKNS melantik Hijrah sebagai agen pelaksana. Sebagai projek perintis, pelaksanaan skim ini hanya ditawarkan khusus kepada projek Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan projek anak syarikat PKNS yang bakal dinikmati hampir 1,000 pembeli.

    Melalui Mesyuarat EXCO-MTES bertarikh 28 Jun 2018, Kerajaan Negeri bersetuju supaya kaedah pembiayaan pinjaman 10% akan dibuat oleh Kerajaan Negeri kepada pembeli namun mekanisma pelaksanaan kutipan hendaklah dibuat 100% melalui pihak bank yang menyediakan baki pinjaman 90% tanpa perlu dilaksanakan oleh Hijrah Selangor. Setelah PKNS mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak bank, PKNS telah mengangkat kertas cadangan kepada  Majlis   Mesyuarat   Kerajaan   Negeri

    (MMKN) dan MMKN Ke-30/2018 pada 28 September 2018 telah meluluskan kaedah pelaksanaan pinjaman deposit daripada Maybank. PKNS diminta untuk berbincang lebih lanjut dan terperinci berhubung syarat-syarat pinjaman dengan pihak Maybank untuk mendapatkan pakej tawaran yang lebih baik dan memenuhi keperluan Kerajaan Negeri.

    Untuk itu, PKNS perlu mengangkat kertas pertimbangan dan cadangan terkini ke mesyuarat EXCO-MTES akan datang selepas persetujuan diperoleh bersama dengan pihak Maybank. Ini bagi memastikan mekanisma yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah menyeluruh dan komprehensif serta mencapai objektif dan matlamat yang disasarkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.