Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

157) SISTEM SOLAR

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri Selangor akan menyertai inisiatif program sistem tenaga solar yang dipromosikan oleh Kerajaan Pusat untuk dipasangkan di rumah-rumah ibadat terutamanya masjid-masjid?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia) telah memperkenalkan kuota Solar PV kategori komuniti pada tahun 2014 yang bertujuan untuk mewujudkan kuota khas bagi projek-projek komuniti bagi memastikan entiti bukan komersil ini berpeluang untuk membangunkan projek-projek solar PV di bawah mekanisma Feed-in Tariff (FiT) tanpa perlu bersaing dengan permohonan dari syarikat-syarikat komersil yang begitu agresif dalam mendapatkan kuota.

     

    Namun begitu, di atas faktor kekangan Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB), kuota bagi kategori solar PV hanya dapat dilaksanakan sehingga tahun 2017. Kerajaan seterusnya telah memperkenalkan mekanisme lain bagi meningkatkan penjanaan tenaga menerusi solar PV iaitu projek Large Scale Solar (LSS) dan Net-Energy Metering (NEM).

     

    Di bawah program NEM, SEDA Malaysia mempunyai pilihan bayaran pelaburan terhadap sistem PV melalui:

     

    1. Pembelian Terus Tenaga (tunai / pinjaman tunai bank) dengan melantik penyedia perkhidmatan Solar PV yang berdaftar (Registered Photovoltaic Service Provider – RPVSP); atau

     

    1. Perjanjian Power Purchase Agreement (PPA) atau Solar Leasing dengan melantik pelabur PV berdaftar (Registered Solar PV Investor – RPVI) dimana dibawah pilihan PPA atau Solar leasing ini tiada pendahuluan perbelanjaan modal diperlukan dari pemohon.

     

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 16 / 2019 yang diadakan pada 18 Jun 2019 telah bersetuju dengan Cadangan Pemasangan Panel Solar di Bangunan-bangunan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Skim Solar Energy Purchase (SEP) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan bersetuju dengan perkara-perkara berikut:

     

    1. Meluluskan cadangan Pemasangan Panel Solar di Bangunan-bangunan Kerajaan Negeri Selangor iaitu Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Pejabat-pejabat Tanah dan Daerah (PTD) di bawah Skim Solar Energy Purchase (SEP) oleh TNB;
    2. UPEN akan mengadakan perbincangan lanjut dan terperinci dengan TNB dan PTD bagi mengkaji semula tempoh kontrak dan kadar tarif yang akan dikenakan; dan
    • Supaya melibatkan semua PTD semasa memuktamadkan perjanjian dengan TNB.

     

    Sehubungan itu, buat masa ini Kerajaan Negeri hanya akan melaksanakan pemasangan sistem solar di Bangunan-bangunan Kerajaan Negeri Selangor dan akan mempertimbangkan pemasangan sistem solar di rumah ibadat terutamanya masjid-masjid pada masa akan datang.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.