Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

137) SISTER IN ISLAM (SIS)

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri terhadap SIS yang masih aktif walaupun telah difatwakan haram oleh MAIS pada 2014?

    Tindakan Kerajaan Negeri terhadap SIS yang masih aktif walaupun telah difatwakan haram oleh MAIS pada 2014 adalah seperti berikut:

    1. Fatwa pengharaman pemikiran liberalisme dan pluralisme telah diwartakan pada 31 Julai 2014 dan memberi kesan secara langsung kepada gerakan SIS Forum (Malaysia) (β€œSIS”). Namun, pihak SIS telah memulakan tindakan semakan kehakiman di Mahkamah sivil bagi mencabar kesahan fatwa tersebut.
    2. Terkini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak semakan kehakiman pihak SIS dan memutuskan isu fatwa mempunyai kaitan dengan Undang-undang Syariah dan adalah di bawah bidang kuasa eksklusif di bawah Mahkamah Syariah. Mahkamah juga mendapati bahawa keputusan dalam pengeluaran fatwa tersebut tidak dicemari dengan tindakan yang menyalahi undang-undang.
    3. SIS telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tersebut di Mahkamah Rayuan Putrajaya dan telah mendapatkan perintah penggantungan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dari Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 23 Januari 2020. Kesannya, penguatkuasaan fatwa tersebut digantung sementara terhadap SIS sementara prosiding rayuan didengar dan diputuskan secara muktamad.
    4. Pihak MAIS akur terhadap perintah bertarikh 23 Januari 2020 oleh Mahkamah Rayuan dan menangguhkan apa-apa penguatkuasaan tindakan undang-undang yang berkemungkinan terhadap SIS berhubung pelanggaran fatwa tersebut sehinggalah rayuan SIS di peringkat Mahkamah Rayuan selesai.
    5. MAIS juga telah mengarahkan agensi-agensi agama di bawah MAIS dengan jalinan kerjasama JAIS untuk menambah baik program-program dakwah secara terancang dan tersusun untuk dilaksanakan pada tahun ini bagi memberikan kefahaman agama kepada masyarakat Islam mengenai teras pegangan Ahli Sunah Wal Jemaah dan bahaya fahaman liberalisme dan pluralisme agama.
    6. JAIS melalui Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan sentiasa membuat pemantauan rapat terhadap aktiviti-aktiviti SIS Forum yang kebanyakkannya dilaksanakan di Kuala Lumpur. Bahagian ini juga akan terus proaktif mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana orang Islam, pertubuhan atau syarikat yang melanggar fatwa tersebut bagi membendung perkembangan fahaman ini di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.