Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

74) SKIM AIR DARUL EHSAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah mekanisma yang akan digunakan dalam pelaksanaan pemberian air percuma kepada kumpulan sasar?

    Saya pohon izin Y.B. Tuan Speaker untuk menjawab bersekali kesemua soalan berkenaan Skim Air Darul Ehsan yang telah ditanyakan oleh Yang Berhormat Sungai Air Tawar  (Soalan No. 2), Yang Berhormat Sungai Panjang (Soalan No. 74), Yang Berhormat Semenyih (Soalan No. 197), Yang Berhormat Pandamaran (Soalan No. 230) dan Yang Berhormat Batang Kali (Soalan No. 284).

     

     

    1. Yang Berhormat Sungai Air Tawar dan Yang Berhormat Pandamaran bertanyakan berapa anggaran perolehan hasil pendapatan Kerajaan Negeri Selangor dengan pemansuhan skim air percuma dan Yang Berhormat Sungai Panjang bertanyakan anggaran rakyat yang akan mendapat manfaat dari skim ini. Apabila Skim Air Darul Ehsan dilaksanakan, penduduk Negeri Selangor yang mendapat manfaat akan berkurang dari 1.6 juta akaun pengguna kepada 700,000 akaun.

     

    1. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM1,812,421,674.67 bagi menampung pembiayaan Program Pemberian Air Percuma 20 meter padu semenjak Jun 2008 hingga Ogos 2019. Jumlah pembiayaan Kerajaan Negeri di bawah Skim Air Darul Ehsan ini dianggarkan akan berkurangan dari RM180 juta setahun kepada  RM96 juta setahun. Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyalurkan penjimatan tersebut kepada program-program kebajikan rakyat yang lain.
    2. Yang Berhormat Sungai Panjang dan Yang Berhormat Semenyih pula bertanyakan mengenai mekanisma yang akan digunakan dalam pelaksanaan pemberian air percuma kepada kumpulan sasar. Dalam usaha untuk memastikan tiada golongan sasar yang tertinggal dalam menikmati  Skim Air Darul Ehsan ini, Kerajaan Negeri menggesa supaya semua pemohon yang layak dan memenuhi syarat untuk membuat permohonan melalui pendaftaran sama ada secara atas talian melalui laman web Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) iaitu  ssipr.selangor.gov.my atau secara manual mengisi Borang Permohonan Program IPR Skim Air Darul Ehsan. Pendaftaran Skim Air Darul Ehsan ini bermula pada 30 September 2019 sehingga 31 Disember 2019.  Proses pendaftaran ini adalah untuk mengumpul dan mengemaskini semua data pemohon Skim Air Darul Ehsan dan bagi proses pengesahan pemohon yang layak melalui semakan silang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Proses semakan silang hanya akan bermula selepas tarikh tutup permohonan, dan pemohon akan dimaklumkan berkenaan status permohonan mereka selewat-lewatnya pada pertengahan bulan Februari 2020, iaitu sebelum pelaksanaan Skim Air Darul Ehsan yang akan bermula pada 01 Mac 2020. Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk meneliti dan memperhalusi mekanisme yang digunakan di dalam melaksanakan penjajaran semula ini bagi memastikan golongan sasar khususnya golongan berpendapatan rendah tidak terjejas.
    3. Yang Berhormat Sungai Panjang dan Yang Berhormat Batang Kali amat mengambil berat berkenaan golongan M40 dan mencadangkan supaya Skim Air Darul Ehsan ini diperluaskan kepada golongan M40. Golongan M40 di negeri Selangor adalah terdiri dari golongan rakyat yang menerima pendapatan  bulanan dalam lingkungan RM6,180.00 hingga RM12,469.00. Kerajaan Negeri berpandangan golongan M40 ini berkemampuan untuk membiayai bayaran RM11.40 untuk penggunaan air sebanyak 20 meter padu sebulan.  Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan program kebajikan untuk kepentingan golongan M40 ini antaranya seperti perkhidmatan bas percuma, hadiah anak masuk IPT dan lain-lain.
    4. Buat masa ini, Kerajaan Negeri belum dapat mempertimbangkan saranan Yang Berhormat Batang Kali untuk meningkatkan kadar air percuma kepada 30 meter padu kerana penggunaan 20 meter padu adalah mencukupi untuk menampung kegunaan domestik bagi satu keluarga purata seramai lima (5) orang. Tambahan pula, mengikut statistik yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Air Negara (SPAN), penggunaan air individu di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sebanyak 222 liter sehari, iaitu 30% lebih tinggi dari kadar air yang disyorkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi setiap individu sebanyak 164 liter sehari.  Justeru itu, peningkatan pemberian air percuma kepada 30 meter padu boleh menyumbang kepada penggunaan air yang tidak berhemah sedangkan sumber bekalan air adalah semakin berkurangan.
    5. Akhirnya, Yang Berhormat Sungai Panjang juga bertanya adakah akan berlaku kenaikan tarif air selepas Skim Air Darul Ehsan ini. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menekankan bahawa sebarang pelarasan tarif adalah berpatutan dan tidak akan membebankan rakyat dan memberi jaminan tiada peningkatan bagi pengguna domestik yang menggunakan 20 meter padu sebulan.

Lampiran

Tiada Lampiran.