Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

121) SKIM BANTUAN AM

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah hasil kajian Kerajaan Negeri ke atas Skim Bantuan Am?

    Sebagai makluman, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor telah menyediakan satu kertas cadangan berhubung dengan Skim Bantuan Am untuk diangkat ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk kelulusan. Melalui kertas cadangan tersebut, kadar bantuan am Negeri Selangor akan ditambah baik setelah mengambilkira teguran-teguran audit yang diterima oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor.

    Selain daripada itu, sebagai makluman ahli Yang Berhormat, satu kajian umum berhubung kadar kemiskinan Negeri Selangor juga turut dijalankan oleh Kerajaan Negeri. Jawatankuasa Tetap Kemiskinan dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) kini sedang menjalankan Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor bermula pada Mac 2015 hingga Mac 2016. Secara ringkasnya, objektif utama kajian ini adalah untuk menganalisis penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor melalui justifikasi pengiraan dan pembinaan indeks kemiskinan, mengenalpasti statistik kemiskinan bagi penduduk berdasarkan daerah dan kaum di Negeri Selangor dan mewujudkan dan membangunkan Sistem Maklumat yang dinamakan Informasi Kesejahteraan Rakyat Majmuk Selangor (IKRAMS) yang mengandungi data lengkap dan holistik isirumah Selangor yang berpendapatan di bawah PGK Negeri Selangor.

    Oleh yang demikian, kajian ini dilihat berupaya membolehkan Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti dan merangka dasar baru, program dan peruntukan yang lebih komprehensif untuk membasmi kemiskinan secara efektif serta memastikan setiap bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri adalah tepat kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan.

Lampiran

Tiada Lampiran.