Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

158) SKIM INISIATIF PEDULI RAKYAT (IPR)

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah skim selepas pensejajaran semula tahun 2019 dan kos keseluruhan skim IPR bagi tahun 2019 sehingga September?

    Pada tahun 2019, agenda pelaksanaan program-program IPR masih diteruskan dengan pendekatan yang lebih holistik dan tidak hanya menyajikan pemberian bantuan kebajikan dan simpati semata-mata tetapi memberi daya melalui pemerkasaan (empowerment) kepada para penerima manfaat IPR di Selangor.

    Penjajaran IPR telah mengambil kira perkara seperti berikut:

    1. i) Penekanan konsep daripada pemberian kepada pengupayaan (empowerment);
    2. ii) Penekanan kepada program-program kesedaran; dan

    iii)   Fokus kepada kumpulan sasar yang tepat.

     

    Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah mengadakan Persidangan Pengendali Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) pada Februari 2019. Hasil daripada persidangan tersebut, 43 Program IPR telah dijajarkan kepada 33 program berdasarkan kepada tiga (3) konsep utama seperti berikut:

    1. i) Diteruskan seperti sedia ada (merangkumi 18 Program IPR);
    2. ii) Diteruskan dengan penjajaran secara pindaan, iaitu dari segi pindaan pada perubahan program, syarat kelayakan, mekanisme pelaksanaan, kuota penerima dan lain-lain pindaan (merangkumi 15 Program IPR); dan

    iii)        Diteruskan dengan penjajaran secara kolaborasi dengan program IPR sedia ada (merangkumi 9 Program IPR).

    (Keterangan lanjut seperti Lampiran I)

     

    Secara keseluruhannya, jumlah dana yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk semua program IPR pada tahun 2019 adalah berjumlah RM485,435,000.00 (Ringgit Malaysia: Empat Ratus Lapan Puluh Lima Juta Empat Ratus Tiga Puluh Lima Ribu). Peruntukan ini adalah termasuk dengan peruntukan tambahan bagi tahun 2019 iaitu sebanyak RM123,815,000.00 (Ringgit Malaysia: Satu Ratus Dua Puluh Tiga Juta Lapan Ratus Lima Belas Ribu).

     

     

    Jumlah perbelanjaan ke atas pelaksanaan program-program IPR bermula bulan Januari sehingga 30 September 2019 adalah berjumlah RM212,650,887.69 (Ringgit Malaysia: Dua Ratus Dua Belas Juta Enam Ratus Lima Puluh Ribu Lapan Ratus Lapan Puluh Tujuh dan Enam Puluh Sembilan Sen), iaitu 43.8% daripada jumlah peruntukan yang diterima.

     

     

    MAKLUMAT TAMBAHAN

     

    Dari bulan Oktober sehingga Disember 2019, dianggarkan perbelanjaan bagi pelaksanaan program-program IPR adalah sebanyak RM87,483,349.03 (Ringgit Malaysia: Lapan Puluh Tujuh Juta Empat Ratus Lapan Puluh Tiga Ribu Tiga Ratus Empat Puluh Sembilan dan Tiga Sen), menjadikan anggaran perbelanjaan sepanjang tahun 2019 berjumlah RM300,134,236.72 (Ringgit Malaysia: Tiga Ratus Juta Satu Ratus Tiga Puluh Empat Ribu Dua Ratus Tiga Puluh Enam dan Tujuh Puluh Dua Sen), iaitu 61.8% daripada jumlah peruntukan tahun 2019.

Lampiran

Tiada Lampiran.