Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

269) Skim Inisiatif Peduli Rakyat

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Senaraikan jumlah perbelanjaan keseluruhan mengikut pecahan skim IPR bagi tahun 2020?

    Untuk makluman Yang Berhormat Semenyih, berdasarkan data-data dan maklumat daripada 1 Januari sehingga 30 September 2020, secara umumnya prestasi perbelanjaan bagi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang berjaya dilaksanakan adalah 89%, iaitu dengan nilai RM 303,502,572.72.

    Sekiranya perbelanjaan ini diperinci mengikut enam (6) kluster yang telah ditetapkan, kluster yang mempunyai perbelanjaan yang paling tinggi ialah kluster Kebajikan iaitu 51.1% daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan IPR, dengan nilai RM 155,157,111.03. Program di bawah kluster Kebajikan yang menyumbang kepada nilai yang tinggi ini ialah Pengecualian Cukai Pintu dengan nilai sebanyak RM 58,021,343.14. Selain itu, program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) juga telah membelanjakan sebanyak RM21,577,302.44 iaitu 7.1% daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan IPR sehingga 30 September 2020.

    Manakala kluster IPR yang mempunyai nilai perbelanjaan kedua tertinggi ialah kluster Perniagaan iaitu berjumlah RM 49,298,508.00 atau 16.2% daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan IPR. Komponen yang menyumbang kepada perbelanjaan yang tinggi ini ialah Skim Hijrah Selangor dengan nilai RM 45,987,000.00 yang juga merupakan 15.2% daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan IPR.

    Kluster ketiga tertinggi, yang mempunyai perbelanjaan sebanyak 15.4% daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan IPR dengan nilai RM46,775,330.05 ialah kluster Kesihatan. Program yang menyumbang kepada nilai ini adalah Skim Insurans Peduli Sihat (SiPS) dengan nilai RM 42,500,000.00 atau 14.0% daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan IPR sehingga 30 September 2020.

    Kluster Pendidikan pula berada di tempat ke-empat dengan peratusan perbelanjaan sebanyak 10.3% daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan IPR, dengan nilai kasar perbelanjaan sebanyak RM 31,398,497.79. Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor merupakan IPR yang mempunyai perbelanjaan tertinggi di bawah kluster ini, iaitu 7.4% daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan IPR dengan nilai RM 22,473,000.00.

    Kluster seterusnya ialah kluster Kekeluargaan, dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM 11,143,625.85 atau 3.7% daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan IPR sehingga 30 September 2020. Program yang menyumbang kepada nilai ini adalah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dengan nilai RM 9,417,300.00 yang merupakan 3.1% daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan IPR.

    Kluster terakhir iaitu kluster Perumahan, yang telah berbelanja sebanyak RM 9,729,500.00 atau 3.2% daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan IPR sehingga 30 September 2020, iaitu di bawah program Skim Ceria.

    Berdasarkan data-data yang telah disebutkan tadi, prestasi perbelanjaan program-program IPR di Negeri Selangor yang menghampiri 90% dalam tempoh suku tahun ke-tiga (Q3) menggambarkan bahawa program-program ini telah diurus dan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan serta menyeluruh untuk rakyat Selangor. Kerajaan Negeri akan sentiasa prihatin dalam memastikan kelangsungan hidup rakyat Selangor berada pada tahap yang optimum. Namun begitu, dengan pelaksanaan program-program IPR ini juga diharapkan memberi ruang dan peluang kepada para penerima bantuan agar mampu berdikari untuk meningkatkan pendapatan keluarga dan keluar daripada kepompong kemiskinan yang dihadapi selain turut sama menyumbang secara positif dan proaktif dalam membangunkan negeri.


    Maklumat Tambahan:

    Perincian lanjut berkenaan perbelanjaan setiap IPR serta statistik yang berkaitan adalah seperti di Jadual dilampirkan.