Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016

127) SKIM KESIHATAN WANITA (MAMOGRAM)

Tahun: 2016

Sesi: 1

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Tuan Hasnul Bin Baharuddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan kerajaan negeri untuk mengaktifkan kembali program skim kesihatan wanita (MAMOGRAM).

    Kerajaan Negeri sentiasa komited dan mengambil berat perihal kesihatan rakyat di Negeri Selangor terutama kepada golongan wanita yang merupakan penyumbang utama dalam membina kesejahteraan keluarga. Saban tahun, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam menambahbaik pelaksanaan dan mengaktifkan kembali program mammogram ini.

    Dengan penambahbaikan melalui peluasan pembekal perkhidmatan pemeriksaan mammogram ini, ia tidak lagi tertakluk dan terhad kepada satu service provider sahaja. Malah kini, peserta mammogram boleh mendapatkan kemudahan perkhidmatan ini di tujuh (7) panel hospital swasta iaitu di Majlis Kanser Negara (MAKNA), National Cancer Society Malaysia (NCSM), Columbia Asia, BP Health Care, KPJ, Salam Medical Centre dan di DEMC. Dengan peluasan rakan kerjasama mammogram ini, maka peluang bagi mendapatkan perkhidmatan ini lebih terbuka dan lebih banyak untuk dinikmati oleh golongan wanita di Selangor.

     

    Selain daripada itu, bagi tahun 2016, satu siri jelajah sihat bersama pihak MAKNA menggunakan trak bergerak mammogram akan dilaksanakan di daerah-daerah yang terpilih. Pelaksanaan jelajah sihat kali pertama telah berjaya diadakan melalui Program Mammogram Selangor 2016 pada 28 Februari 2016 yang lalu di DUN Taman Medan. Cadangan lokasi jelajah sihat mammogram akan datang adalah di Sabak Bernam dan Sepang.

     

    Para penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) bersama barisan Ahli Jawatankuasa di peringkat DUN seluruh Selangor memainkan peranan yang penting dalam mengenalpasti peserta bagi menjalani pemeriksaan  mammogram ini dengan mengwar-warkan program-program di bawah Kerajaan Negeri terutama program-program di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk makluman semua warga komuniti diperingkat DUN. Berperanan sebagai duta kecil wanita diperingkat DUN, golongan wanita tidak lagi seharusnya terpinggir dalam isu-isu melibatkan golongan wanita apatah lagi

     

    program-program yang memberi banyak manfaat kepada warga Selangor amnya dan kepada golongan wanita khususnya.

     

    Sebagaimana peranan penting yang dimainkan oleh PWB, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di seluruh Selangor juga memainkan peranan dalam mempromosi Mammogram Selangor di setiap program yang dianjurkan atau disertai oleh PKM. PKM juga boleh membantu dalam mengenalpasti peserta diperingkat DUN masing-masing yang memerlukan pemeriksaan saringan kanser ini.

    Bagi memastikan golongan wanita Selangor sentiasa mendapat maklumat terkini berhubung program-program yang disediakan, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan bagi membolehkan promosi diadakan secara berterusan. Dengan kerjasama agensi pelaksana program mammogram ini iaitu Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB), pelaksanaan Mammogram Selangor ini diharapkan akan sentiasa mendapat kerjasama dan liputan hebahan oleh semua agensi dan jabatan di Selangor melalui media elektronik, media cetak dan media sosial masing-masing agar program-program seumpama ini dapat dinikmati dan dimanfaatkan bersama seluruh wanita Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.