Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

200) SKIM MESRA USIA EMAS

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan menambahbaik skim ini seperti menggalakkan komunikasi ataupun bantuan ketika masih hidup selain daripada Jom Shopping?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyatnya termasuklah warga emas terutamanya yang telah berdaftar dengan Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

    Pada ketika ini, tumpuan sedang diberi kepada menghidupkan semula pelaksanaan program nilai tambah yang telah banyak membantu meringankan bebanan rakyat termasuklah warga emas yang berdaftar dengan SMUE. Program Jom Shopping yang begitu mendapat sambutan dan telah dilaksanakan buat kali terakhir pada tahun 2014 berdasarkan konsep ‘One Off’ sedang dalam proses penambahbaikan dan dirancang untuk dilaksanakan semula selewat-lewatnya pada 1 Januari 2017.

    Seperti semua sedia maklum, menerusi program Jom Shopping ini, antara matlamat yang ingin dicapai adalah:

    • Membawa keluar warga emas daripada sindrom ‘bird nest’ di mana mereka hanya tinggal di rumah dan urusan seharian dilakukan oleh anak-anak. Mereka jarang mendapat peluang ke pasaraya kerana pergerakan juga amat terhad.
    • Memberikan peluang kepada warga emas berkenaan kebebasan untuk berbelanja dan membuat pilihan barangan yang diperlukan hatta kepada siapa mereka mahu belanjakan. Berbeza dengan hari-hari sebelumnya bilamana mereka hanya memesan kepada anak-anak.
    • Menikmati kemeriahan suasana berbelanja secara berkumpulan bersama-sama rakan sebaya daripada pelbagai kaum dan status dalam masyarakat.
    • Mewujudkan suasana ceria di kalangan warga emas kerana dapat berinteraksi dengan pelbagai pihak sama ada kenalan sekampung atau setaman, malahan boleh pula mengenali sahabat-sahabat baru yang seusia di kalangan mereka.

    Memandangkan pelbagai matlamat dapat dicapai dalam satu program seperti ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk meneruskannya. Dalam masa yang sama, beberapa program lain juga sedang dirancang untuk tahun hadapan. Dalam perancangan tersebut, terdapat juga program-program yang melibatkan semua golongan masyarakat termasuk warga emas.

    Oleh itu, penelitian yang lebih terperinci perlu diberikan agar di sana tidak ada program yang bersifat bertindih berlaku apabila ianya dilaksanakan. Kerajaan Negeri akan terus berusaha mewujudkan pelbagai program untuk rakyatnya dan memberikan yang terbaik dalam memelihara kebajikan mereka.

Lampiran

Tiada Lampiran.