Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

88) SKIM MIKROKREDIT

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Tuan Jakiran Bin Jacomah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status tahap pelaksanaan dan kejayaan skim-skim ini?

    Skim Mikrokredit Selangor (SKIMSEL) telah ditubuhkan pada bulan Ogos 2010 dan seterusnya dilancarkan pada 2 September 2010. Sehingga kini, SKIMSEL telah mempunyai sembilan (9) buah cawangan yang beroperasi di 9 daerah di negeri Selangor iaitu Cawangan Sabak Bernam, Cawangan Kuala Selangor, Cawangan Hulu Selangor, Cawangan Hulu Langat, Cawangan Kuala Langat, Cawangan Sepang, Cawangan Gombak, Cawangan Petaling dan Cawangan Klang. Semua pejabat cawangan beroperasi di Bangunan Pejabat dan Tanah Daerah masing-masing.

    Jumlah dana yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri kepada SKIMSEL adalah sejumlah RM50 juta. Sehingga 30hb April 2013, SKIMSEL telah menerima peruntukan dana sebanyak RM22.4 juta. Dengan dana yang ada SKIMSEL telah berjaya mengeluarkan pembiayaan mikrokredit dengan bilangan akaun pembiayaan sebanyak 16,099 berjumlah RM50,582,050.00 kepada 7,610 orang peserta atau sadiq.

    SKIMSEL sentiasa berusaha untuk mengekalkan kadar bayaran balik pembiayaan pada tahap 100 peratus (zero PAR) bagi operasi di semua cawangan. Sehingga kini, kadar bayaran balik SKIMSEL berada pada tahap 98.34 peratus.

    MIMBAR

    Program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) Selangor telah beroperasi selama dua (2) tahun sejak Mac 2011.  Bermula dari dua (2) program pilihan iaitu Program Mikrokredit dan Program Bantuan Niaga, MiMBAR Selangor telah mengembangkan lagi penawarannya dengan mewujudkan Program Bantuan Kerja.  Penyediaan program-program ini selaras dengan konsep “workfare” yang diketengahkan oleh kerajaan negeri dalam menjadikan masyarakat Selangor berdikari untuk berpendapatan.  Program Mikrokredit merupakan satu bantuan pinjaman berbentuk tunai di antara RM1,000 hingga RM5,000 bergantung kepada permintaan pemohon dan jenis perniagaannya.  Program Bantuan Niaga dan Bantuan Kerja pula menyediakan bantuan pinjaman perniagaan berbentuk peralatan, kiosk, mesin, produk dan ruang niaga.  Tempoh pembayaran semula pula telah dipanjangkan dari 12 bulan kepada 18 bulan dengan mengekalkan konsep pinjaman yang sama iaitu pinjaman tanpa caj faedah.

    Selain itu, MiMBAR Selangor melihat bahawa bimbingan dan latihan juga adalah penting bagi mendidik golongan peniaga di Selangor ini untuk terus berkembang ke tahap yang lebih baik dan lebih tinggi.  Justeru pelbagai latihan, kursus dan bengkel dijalankan sehingga kini.  Ianya meliputi bengkel pengurusan kewangan secara teori dan praktikal, pendedahan dan perkongsian maklumat melalui jabatan-jabatan kerajaan dan usahawan, tatacara berurusan dengan Pihak Berkuasa Tempatan, mengetahui hak-hak peniaga, proses pensijilan halal, dan perkongsian pengalaman serta cabaran di antara mereka sendiri.  Usaha ini adalah untuk menggalakkan mereka supaya terus berdaya saing dan meningkatkan jati diri agar lebih maju dan pada masa yang sama dapat memenuhi tuntutan global seperti produk halal, Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), kebersihan produk, dan mula merancang penubuhan syarikat ke arah syarikat sendirian berhad bukan sekadar perusahaan.

    1. i) Kejayaan MiMBAR Selangor

    Melalui maklumbalas yang dijalankan, MiMBAR Selangor telah berjaya mengenalpasti seramai 1,024 peserta program berjaya melepasi Paras Garis Kemiskinan (PGK) dan berada di tahap yang stabil.  Manakala seramai 712 orang peserta telah berjaya menamatkan pinjamannya tanpa mempunyai sebarang tunggakan bayaran sepanjang proses pinjaman dan sudah berada di tahap yang selesa yang tidak memerlukan pinjaman pusingan seterusnya sebagai modal tambahan.  Kebanyakan peserta yang begitu komited untuk memajukan perniagaan dirinya dilihat berubah kepada lebih selesa dan maju dengan tahap perniagaannya yang semakin berkembang.

    MiMBAR Selangor amat berharap dengan bantuan pinjaman berterusan ini dapat membantu sekumpulan kecil peserta yang begitu komited dan berusaha ke tahap yang lebih tinggi sebagai perantis industri kecil dan sederhana sehingga mereka tidak lagi memerlukan pinjaman kecil sebegini untuk menyara perbelanjaan perniagaan mereka

Lampiran

Tiada Lampiran.