Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

118) SKIM PERTUKARAN PEGAWAI ANTARA PIHAK BERKUASA TEMPATAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Harumaini Bin Haji Omar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan bercadang untuk melaksanakan skim ini untuk pegawai peringkat atasan kerana ini dapat meningkatkan produktiviti dan juga menambah pengalaman mereka?

    Pada masa ini, urusan perlantikan pengurusan atasan PBT iaitu Datuk Bandar, Yang Dipertua, Timbalan Datuk Bandar, Timbalan Yang Dipertua dan Setiausaha adalah berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) melalui kelulusan Pihak Berkuasa Negeri iaitu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2008 (PP12/2008) – Dasar dan Prosedur Pelantikan Secara Peminjaman, Pertukaran Sementara dan Pertukaran Tetap. Peminjaman atau pertukaran sementara adalah merupakan salah satu daripada kaedah pelantikan pegawai sedang berkhidmat yang boleh digunakan oleh sesebuah agensi untuk mendapatkan perkhidmatan pegawai yang berpengalaman, berkemahiran, berwibawa dan bersesuaian dengan keperluan agensi berkenaan bagi mengisi jawatan terbuka atau tertutup.

    Secara dasarnya, Kerajaan Negeri tidak menetapkan sebarang mekanisma atau jadual bagi melaksanakan pertukaran pengurusan atasan dari satu PBT ke PBT yang lain dan ia adalah tertakluk kepada keperluan semasa selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa. Bagi pegawai PBT selain pengurusan atasan pula, pergerakan atau pertukaran pegawai hanya dilaksanakan di dalam PBT masing-masing mengikut keperluan PBT tersebut.

    Untuk makluman juga, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti dan mengkaji kebolehlaksanaan cadangan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (SPPBT). Sekiranya penubuhan SPPBT ini dilaksanakan, pertukaran pegawai termasuk pengurusan atasan antara PBT dijangka boleh dilaksanakan sekali gus dapat memberi peluang kemajuan kerjaya kepada pegawai dan kakitangan PBT.

Lampiran

Tiada Lampiran.