Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

131) SKIM PINJAMAN

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pihak Kerajaan ada berhasrat memperkenalkan skim pinjaman mudah untuk membina rumah kepada rakyat yang mempunyai tanah sendiri yang sah di Selangor?

    1. Untuk makluman Yang Berhormat Taman Templer, di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin, Kerajaan Negeri Selangor berperanan untuk membantu keluarga yang kurang berkemampuan dan miskin bagi mendapatkan sebuah rumah yang selesa dan selamat untuk didiami di bawah Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin. Program ini disasarkan khusus kepada golongan miskin yang berpendapatan rendah dimana jumlah pendapatan seisi rumah adalah dibawah RM3,000.00 sebulan serta mendiami rumah di atas tanah milik sendiri. Bantuan ini diutamakan kepada pemohon yang mempunyai tanggungan yang ramai, menduduki rumah yang daif dan tidak selamat untuk diduduki.

     

    Di bawah program ini, kelulusan bagi sesebuah rumah adalah tertakluk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan. Terdapat dua jenis bantuan di bawah program ini iaitu Bantuan Bina Baru Rumah dan Bantuan Baikpulih Rumah bergantung kepada kerosakan yang dialami. Kedua – dua jenis bantuan yang diberikan adalah secara percuma dengan kos pembinaan dan baikpulih rumah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan melalui peruntukan sebanyak RM1 juta yang telah ditetapkan bagi tahun 2019. Berikut adalah perincian bantuan yang telah diberikan :

     

    TAHUN JUMLAH BANTUAN RUMAH
    2018 42 permohonan berjaya

    10 Bina Baru / 34 Baikpulih

    2019 56 permohonan berjaya (Sehingga 30 Jun 2019)

    13 Bina Baru / 43 Baikpulih

     

    Sehubungan dengan itu, bagi menjamin golongan miskin dan kurang berkemampuan terbela, Program Kerajaan Prihatin tidak mempunyai perancangan khusus untuk memperkenalkan sebarang skim pinjaman untuk membina atau membaiki rumah kepada rakyat yang mempunyai tanah sendiri di Negeri Selangor memandangkan peruntukan ini adalah khusus untuk membantu golongan miskin tersebut untuk kediaman yang lebih selamat dan selesa dan secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti kehidupan seharian mereka. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin mengambil maklum akan cadangan skim pinjaman tersebut dan penelitian secara holistik perlu dilaksanakan sebelum apa – apa keputusan dapat dibuat mengikut keperluan semasa.

     

    Walau bagaimanapun, secara umumnya, Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin di atas keperluan dan kepentingan rakyat di Negeri ini dalam memiliki rumah sendiri. Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa inisiatif untuk membantu rakyat di Negeri Selangor untuk memiliki rumah sendiri mengikut kelayakan yang dimiliki.

     

    Sejajar dengan Dasar Perumahan Negeri Selangor iaitu untuk merealisasikan matlamat ‘Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna’, Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan perumahan mampu milik di bawah Program Rumah Selangorku dibawah Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS). Projek perumahan ini bertujuan untuk memastikan setiap rakyat atau keluarga mempunyai tempat tinggal yang baik, selesa dan selamat untuk didiami. Dengan itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan satu konsep perumahan yang baru iaitu Perumahan Mampu Milik yang memberi lebih keselesaan sama ada dari segi saiz, rekabentuk mahupun komunitinya. Program perumahan ini diletakkan di bawah kelolaan Jawatankuasa Tetap Perumahan Dan Kehidupan Bandar yang dipengerusikan oleh Y.B Puan Haniza Binti Talha.

     

    Di bawah program ini, pemohon khususnya rakyat Negeri Selangor berpeluang untuk memiliki perumahan sendiri dengan harga serendah RM42,000.00 sehingga RM250,000.00 bagi sebuah rumah mengikut kelayakan dan syarat – syarat yang telah ditetapkan. Permohonan boleh dibuat secara online dengan mematuhi syarat – syarat yang telah ditetapkan sepertimana yang dipaparkan di laman web LPHS. Walau bagaimanapun, pihak LPHS akan membuat saringan kepada permohonan yang layak untuk menentukan kawasan perumahan yang tersedia untuk tujuan tersebut.

     

    Sehubungan itu, Skim Smart Sewa telah diwujudkan dan boleh dipohon oleh mereka yang berkelayakan. Buat masa ini, Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan penyewaan rumah PPR dan Skim Smart Sewa. Di antara syarat – syarat kelayakannya adalah seperti berikut :

    Rumah PPR

    1. Warganegara Malaysia
    2. Berumur 18 tahun ke atas
    • Telah berkeluarga dan mempunyai tanggungan
    1. Pendapatan seisi keluarga kurang dari RM3,000.00
    2. Pemohon dan suami / isteri tidak memiliki tanah atau rumah dalam daerah atau mukim yang sama

    Skim Smart Sewa

    1. Pemohon dan pasangan warganegara Malaysia
    2. Berumur 18 tahun ke atas dan berkeluarga / mempunyai tanggungan
    • Pendapatan seisi keluarga :
      • Tidak melebii RM5,000.00 sebulan dan ke bawah bagi Rumah Jenis A / Kos Rendah
      • Tidak melebihi RM15,000.00 sebulan dan ke bawah dengan keutamaan diberikan kepada pendapatan kurang daripada RM10,000.00 sebulan bagi Rumah Jenis B, C, dan D / Kos Sederhana / Sederhana Rendah
    1. Pemohon atau pasangan tinggal / bekerja di Selangor
    2. Pemohon tidak memiliki kediaman di Selangor atau mempunyai kediaman melebihi 50km daripada tempat sewa dipohon dengan syarat tempat kerja pemohon dalam lingkungan 25km perjalanan
    3. Pemohon merupakan pengundi di Negeri Selangor

Lampiran

Tiada Lampiran.