Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

39) SKIM RAWATAN JANTUNG SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah manfaat kerjasama Institut Jantung Negara, khususnya dalam program peduli jantung menerusi Skim Rawatan Jantung Selangor yang dilancarkan 26 Februari 2018 dan sila nyatakan.

    Soalan ini dijawab bersekali dengan soalan no 6 daripada YB Sekinchan  berkaitan Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor.

    Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor telah dilancarkan pada 26 Februari 2018 dengan peruntukkan sebanyak RM10 juta setahun yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

    Skim ini dikendalikan oleh anak syarikat PKNS iaitu SELGATE Corporation (SELGATE) melalui anak syarikat milikannya iaitu Selcare Management Sdn Bhd (SELCARE) yang akan bertindak selaku Third Party Administrator (TPA). SELCARE bekerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) dalam memberikan rawatan kepada pesakit yang layak.

    Institut Jantung Negara (IJN) merupakan hospital pakar untuk pesakit jantung di Malaysia. IJN berperanan merawat pesakit jantung yang memerlukan pembedahan koronari, kardiologi dan kes pediatrik. Semua pesakit jantung yang serius dari seluruh negara dirujuk ke IJN bagi mendapatkan rawatan lanjut. Dengan mengadakan kerjasama ini, rakyat Selangor yang berpendapatan rendah akan mendapat rawatan jantung secara percuma yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri bagi meningkatkan tahap kesihatan dan kualiti hidup. Inisiatif ini amat penting memandangkan kos rawatan untuk pesakit jantung merupakan di antara kos rawatan kesihatan yang tertinggi di Malaysia.

    Skim ini terbuka kepada Warganegara Malaysia yang lahir di Negeri Selangor atau telah menetap di Selangor melebihi 10 tahun dan mempunyai pendapatan isi rumah tidak lebih RM8,000 sebulan. Pesakit jantung yang menepati kriteria boleh membuat permohonan kepada pihak SELCARE untuk mendapatkan ‘Guarantee Letter’ sebelum mendapatkan rawatan di IJN.

    Sehingga 18 Mac 2018, seramai 9 orang pesakit telah menjalani rawatan jantung di bawah program ini dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM44,132.20. Kerajaan Negeri menyasarkan 500 orang pesakit jantung akan menerima manfaat di bawah program ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.