Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

140) SMART WASTE MANAGEMENT

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauhmana pencapaian pelaksanaan Smart Waste Management di Negeri Selangor untuk mencapai sasaran negeri bersih?

    Kerajaan Negeri Selangor telah meletakkan sasaran untuk menjadi sebuah Premier Smart State di Asia Tenggara menjelang tahun 2025. Antara strategi yang telah dirangka bagi merealisasikan aspirasi ini adalah dengan melancarkan inisiatif Smart Selangor. Smart Waste Management adalah antara salah satu fokus utama daripada  keseluruhan 12 domain di bawah pelan induk Smart Selangor.  Pelaksanaan inisiatif Smart Waste Management ini yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui KDEB Waste telah berjaya merubah landskap pengurusan sisa pepejal di negeri Selangor ini secara total.

    Lori-lori kompaktor dan juga RORO baru yang dilengkapi dengan Vehicle Management System (VM) kini telah digunakan dihampir kesemua PBT di negeri Selangor kecuali di MBSA. Pergerakkan semua lori-lori baru yang dipantau secara ‘real time’ daripada Centralized Command Center (CCC) KDEB Waste ini telah berjaya mengoptimumkan operasi harian kerja-kerja kutipan sampah. Keberkesanan inisiatif Smart Waste Management ini diterjemahkan melalui peningkatan jumlah sampah yang telah berjaya dikutip dan dilupuskan di tapak pelupusan sampah yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri. KDEB Waste kini secara purata menguruskan kira-kira 5,300 tan sampah sehari di sebelas PBT tidak termasuk MBSA.  Jumlah ini merupakan jumlah yang tertinggi di Malaysia.

    Jumlah aduan juga menunjukkan trend penurunan yang ketara dalam tempoh tiga bulan KDEB Waste mengambil alih perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam. Berdasarkan statistik aduan yang direkodkan oleh Centralized Command Center KDEB Waste, jumlah aduan kebiasaannya akan menurun melebihi 50 peratus pada bulan kedua KDEB Waste beroperasi di kawasan PBT berkenaan.   Aduan-aduan yang disalurkan melalui pelbagai medium termasuk melalui aplikasi i-Clean Selangor juga telah berjaya diuruskan dan diselesaikan dalam tempoh 24 jam. Respond time segera ini dapat dilaksanakan hasil daripada kecanggihan teknologi Internet of Things (IoT) di mana setiap aduan yang terima akan disalurkan terus kepada Penyelia Kawasan KDEB Waste untuk tindakan segera.  Tindakan segera ke atas setiap aduan yang diterima adalah amat penting kerana ia menjadi antara aspek wajib yang dinilai oleh rakyat bagi mengukur keberkesanan perkhidmatan yang diberikan.

    Dalam tempoh lebih 3 tahun beroperasi, KDEB Waste juga telah membanggakan kerajaan negeri apabila dipilih sebagai Smart Waste Solution Company of The Year oleh Frost and Sullivan selama dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2018 dan 2019  dan yang terbaru, anugerah Syarikat Pengurusan Sisa Pepejal terbaik  dari Brand Laureate.  Kejayaan ini adalah satu pencapaian yang amat signifikan dan membanggakan apabila KDEB Waste kini diiktiraf sebagai salah sebuah syarikat Pengurusan Sisa Pepejal pintar atau Smart Waste Management Company terbaik di negara kita.

    Melalui inisiatif Smart Waste Management ini juga, kesemua data-data penting berkenaan pengurusan sisa pepejal seperti jumlah aduan, jumlah sampah yang dilupuskan dan sebagainya dapat direkodkan secara berpusat (centralized) dengan sistematik dan ini akan membolehkan analisis dan kajian terperinci dibuat ke atas data-data tersebut bagi  menambah baik mutu perkhidmatan di masa akan datang.

    Walaubagaimanapun, adalah ditegaskan di sini bahawa secanggih mana pun teknologi yang digunapakai, ianya tidak akan memberikan impak yang berkesan tanpa kerjasama dari semua pihak termasuk rakyat.  Rakyat perlu terus dididik dan ditanamkan sifat cintakan kebersihan serta akan merasa malu dan bersalah sekiranya membuang sampah merata-rata. Fasiliti kelas dunia akan menjadi sia-sia sekiranya mentaliti rakyat masih lagi pada tahap  kelas ketiga. Justeru, kerajaan negeri akan terus menggalakkan penglibatan semua pihak termasuk badan-badan bukan Kerajaan (NGO) bagi menyemarakkan lagi program-program kesedaran tentang kebersihan supaya wujud satu sinergi dengan inisiatif Smart Waste Management ini. Kerajaan negeri juga yakin KDEB Waste akan terus berusaha bagi memastikan sasaran untuk menjadi sebuah negeri bersih dapat direalisasikan.

Lampiran

Tiada Lampiran.