Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

200) USAHAWAN BIDANG PERTANIAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pihak kerajaan berhasrat membuka tanah-tanah baru untuk diberikan kepada anak-anak muda yang berminat untuk menjadi usahawan dibidang pertanian?

    Sektor pertanian adalah merupakan sektor yang penting khususnya yang melibatkan soal keselamatan makanan (food security). Namun begitu, disebabkan Negeri Selangor merupakan sebuah negeri yang maju dan pesat berkembang dengan pelbagai pembangunan projek komersial dan projek hartanah, tanah untuk pertanian menjadi semakin mengecil kesan daripada pertembungan tersebut.

     

    Walaupun begitu, Kerajaan Negeri tetap komited di dalam memastikan sektor pertanian terus menjadi agenda utama dengan pembukaan tanah-tanah pertanian yang baharu. Sebagai contoh, perancangan pembukaan tanah pertanian di Daerah Sabak Bernam yang melibatkan Kawasan seluas 177 ekar untuk pelaksanaan projek tanaman nanas MD2 dan juga roselle serta beberapa lagi tanaman makanan seperti rock melon dan sayuran. Selain dari itu, terdapat juga dengan pembukaan kawasan translokasi di Olak Lempit, Sepang bagi penternakan lembu yang melibatkan Kawasan seluas 120 ekar. Kerajaan Negeri akan terus mengenalpasti Kawasan-kawasan baharu untuk sektor pertanian dari masa ke semasa.

     

    Untuk tindakan yang berhemat, konsep pertanian yang dahulunya bergantung kepada kawasan yang luas bukan lagi menjadi keutamaan kerajaan pada masa ini. Pelaksanaan projek-projek pertanian yang berteraskan teknologi moden seperti tanaman berkonsepkan fertigasi dan pertanian secara bertingkat atau vertical agriculture selain daripada konsep integrasi tanaman dan akuakultur melalui kaedah akuaponik akan terus diperkenalkan khususnya kepada golongan muda. Kerajaan Negeri yakin, melalui pengamalan konsep pertanian yang moden tersebut, golongan generasi muda akan lebih tertarik kerana ianya melibatkan penggunaan gajet-gajet dan Internet Of Thing (IoT).

Lampiran

Tiada Lampiran.