Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

9) STANDARD KAWASAN TARIKAN PELANCONG

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan bagi memastikan kawasan tarikan pelancong mempunyai persekitaran yang bersih dan indah, infrastruktur awam yang berkeadaan sempurna dan mempunyai akses kepada pengangkutan awam bagi meningkatkan imej kawasan tarikan pelancong Negeri?

    Kerajaan Negeri sentiasa peka dan prihatin di dalam memastikan kemudahan pelancongan berada di dalam keadaan yang terbaik agar memberi kemudahan dan keselesaan kepada para pengunjung yang datang berkunjung ke lokasi- lokasi pelancongan di Negeri Selangor.

    Bagi tahun 2018, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta di bawah Peruntukan Pembangunan memajukan produk pelancongan di mana RM350,000.00 diperuntukkan bagi tujuan menaik taraf infrastruktur pelancongan di Bukit Melawati, Bukit Jugra, Bukit Fraser dan Kelip-Kelip Kg.Kuantan, RM300,000.00 bagi tujuan untuk menaiktaraf produk pelancongan pantai seperti Pantai Remis, Pantai Kelanang, Pantai Redang, Pantai Morib dan Pantai Bagan Lalang. Manakala, sebanyak RM350,000.00 diperuntukkan bagi tujuan menaiktaraf produk pusat rekreasi air terjun, sungai dan tasik serta sebanyak RM500,000.00 diperuntukkan bagi tujuan menaiktaraf papan tanda informasi pelancongan.

    Kerajaan Negeri akan melaksanakan projek-projek menaik taraf produk pelancongan berdasarkan kepada keperluan dan keutamaan semasa serta bergantung pada permohonan daripada jabatan-jabatan/ agensi teknikal yang bertanggungjawab menguruskan produk pelancongan tersebut.

    Meskipun peruntukan sebanyak RM1.5 juta dilihat kecil, namun Kerajaan Negeri telah melaksanakan penyelarasan bersama PBT dan agensi teknikal yang terlibat agar memastikan kemudahan-kemudahan di tempat-tempat pelancongan diselenggara dengan baik serta dapat dimanfaatkan oleh para pengunjung di samping meningkatkan imej kawasan pelancongan berkenaan. Antara usaha-usaha yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2018 ialah Kerja-kerja menaik taraf Kolam Air Panas Dusun Tua, Hulu Langat, Kerja-kerja pemasangan lampu awam di Pantai Kelanang, Kuala Langat dan Kerja-kerja menaiktaraf jalan naik ke Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Baharu. Pada masa yang sama Kerajaan Negeri turut mengadakan beberapa langkah pemantauan dan semakan melalui :

    1. Mesyuarat PRO bersama agensi-agensi dan penggiat pelancongan negeri;
    2. Lawatan teknikal secara berkala atau sekiranya berlaku sebarang isu melibatkan pihak-pihak yang terlibat; dan
    3. Melaksanakan product update bagi melihat keperluan sesuatu produk di samping memperkenalkan produk-produk baru kepada pihak

    Di mana usaha-usaha di atas bertujuan untuk mendapatkan maklum balas serta cadangan daripada pihak PBT dan agensi teknikal serta penggiat pelancongan yang boleh dipertimbangkan dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri turut menggalakkan penglibatan pihak NGO dan korporat di dalam kerjasama membangunkan kemudahan-kemudahan di tempat-tempat pelancongan di Negeri Selangor. Usaha-usaha yang dilaksanakan ini bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan Kerajaan Negeri malah ia meningkatkan kesedaran tanggungjawab orang ramai di dalam menjaga dan memelihara infrastruktur serta kebersihan kawasan-kawasan pelancongan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.