Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

11) STARTUP

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha yang telah dan akan dilakukan kerajaan untuk mengembangkan lagi potensi syarikat-syarikat startup di Selangor?

    Kerajaan melalui Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC) telah memulakan program untuk Startup dengan program Selangor Startup Quest di mana pada peringkat ini seramai 15 kumpulan Startup telah berkumpul dan mewujudkan idea baru yang boleh diketengahkan dalam industri pada masa hadapan melalui program yang telah diaturkan oleh SITEC.

    Pada tahun 2018 & 2019 Selangor Accelerator Program (SAP) telah diadakan dalam membantu dan mengembangkan potensi syarikat-syarikat Startup ini. Sebanyak 60 syarikat Startup telah terpilih untuk mengikuti program SAP ini pada tahun 2018 dan 2019.

    Syarikat startup yang terpilih, akan mengikuti program ini selama 4 bulan di mana mereka belajar untuk mengembangkan potensi syarikat mereka terutamanya dalam kemahiran mereka untuk persembahan (Pitching) dihadapan pelabur terhadap produk / perkhidmatan yang syarikat mereka miliki serta mempelajari pengurusan syarikat yang baik. Program ini memberikan mereka latihan, kelas dan sesi mentoring daripada rangkaian mentor yang pakar daripada industri, rakan kongsi industri, dan pemain-pemain dalam industri. Matlamatnya adalah menjadikan syarikat Startup ini bersedia dalam memenuhi keperluan industri dan berkeyakinan apabila melakukan pitching dihadapan pelabur.

    Daripada 60 syarikat Startup yang menyertai program ini, hanya 20 Startup telah dipilih dimana 10 syarikat Startup daripada tahun 2018 dan 10 syarikat Startup daripada tahun 2019 untuk mengikuti lawatan sambil belajar ke luar negara. Pada tahun 2018 mereka telah dibawa ke Hangzhou China dimana mereka juga berpeluang untuk melakukan Pitching di hadapan pelabur dari China semasa lawatan tersebut. Pada tahun 2019 pula 10 syarikat Startup telah dibawa ke Jakarta Indonesia dan berpeluang melakukan Pitching di hadapan beberapa pelabur serta mereka dapat mempelajari sesuatu yang baru daripada syarikat besar seperti Gojek dan Bukalapak.

    Dalam pada itu sebanyak 20 daripada 60 Syarikat Startup yang mengikuti program SAP ini, telah berjaya menerima pembiayaan Cradle Investment Program (CIP) 300 daripada Cradle Fund Sdn Bhd (agensi pembiayaan utama kerajaan) dan daripada Secure Angel Investment dari dalam dan luar negara dengan anggaran pembiayaan $USD 50,000 – $USD 350,000. Sebanyak 5 syarikat startup juga telah dicalonkan untuk anugerah ASEAN Rice Bowl Startup Award dan salah satu daripada mereka telah memenangi the Best AI or Machine Learning Startup Awards.

    Anggaran jumlah GMV (Gross Merchant Value) yang diperolehi daripada syarikat-syarikat startup ini daripada tahun 2018 hingga tahun 2019 adalah RM 26 Juta dan pada masa akan datang, program seperti ini akan diteruskan dan akan ditambah baik lagi bagi membantu syarikat startup ini khususnya di Selangor.

    Syarikat Startup yang mengikuti program dibawah SAP juga telah mewujudkan kesan dalam bidang pemasaran digital, Business to Business (B2B), Online to Offline (O2O) di mana ada syarikat Startup ini yang dapat menyelaraskan peruncit, pembekal dan pembeli dalam satu platform di mana urusan perniagaan dapat dijalankan dengan cepat, murah dan boleh dipercayai seperti dalam industri sewa kereta, e-dagang, penjagaan rumah, dan sebagainya.

    Sumber : Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC)

Lampiran

Tiada Lampiran.