Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

138) Status Baikpulih Hay Resort

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Ahmad Mustain Bin Othman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sampai bilakah Hey Resort Sabak Bernam akan terus terbiar dan dibiarkan usang hingga mengundang aktiviti jenayah?

    Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil beberapa insiatif bagi membangunkan semula bangunan Rumah Rehat Sabak Bernam (RRSB) yang terdahulu dikenali sebagai Hay Resort n Services. Insiatif ini diambil agar bangunan RRSB ini tidak terbiar dan sekaligus memelihara imej daerah Sabak Bernam.

    Selaras dengan itu, pendekatan bagi menyelesaikan isu ini dirangka melalui tindakan berteraskan pelan jangka pendek yang merangkumi tindakan yang berikut:

    i. Rentetan berakhir kontrak perkhidmatan RELA, Pejabat Daerah Tanah (PDT) Sabak Bernam telah mengambil insiatif dengan menempatkan pegawai Penguatkuasa bagi melalukan rondaan berkala di sekeliling premis;

    ii. Lawatan tapak oleh pengusaha hotel yang terdiri daripada anak syarikat Kerajaan Negeri pada 18 September 2018;

    iii. Pengukuran tapak premis oleh juru ukur bertauliah; dan

    iv. Pemeriksaan tapak oleh pihak JKR khusus bagi mengenalpasti aset di premis dan potensi bagi cadangan pembangunan semula yang merupakan pelan tindakan jangka panjang.

    Di dalam merangka tindakan pelan jangka panjang, cadangan pembangunan semula dan operasi RRSB telah diiklankan di akhbar-akhbar utama pada 8 sehingga 10 September 2020. Pengiklanan juga telah disiarkan di laman sesawang Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor dan Tourism Selangor (TSSB)

    Namun begitu, sesi taklimat dan lawatan tapak pada 14 dan 15 September 2020 yang merupakan pra-syarat kelayakan untuk menyertai cadangan pembangunan semula tersebut tidak mencatatkan sebarang kehadiran.

    Justeru sebagai langkah penetapan hala tuju baharu, beberapa alternatif sedang dirangka di peringkat UPEN antaranya adalah perbincangan bersama pihak TSSB yang bersetuju untuk merangka satu business model baharu berhubung cadangan pembangunan semula dan pengurusan operasi RRSB dengan penglibatan penguasaha hotel dan rumah rehat di negeri Selangor.

    Pembentangan business model baharu oleh pihak TSSB dijangka akan dibentangkan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) pada akhir November 2020.

Lampiran

Tiada Lampiran.