Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

169) STATUS KEWANGAN KERAJAAN SELANGOR UNTUK PEMBANGUNAN NEGERI

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Dr. Idris Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Banyak peruntukan untuk rakyat dan DUN telah dikurangkan tanpa penjelasan. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat dan menyukarkan DUN-DUN untuk menguruskan kawasan. Sila beri penjelasan yang betul dan tepat supaya DUN-DUN boleh menjelaskan kepada masyarakat status yang sebenar.

    Dalam melestarikan pembangunan di Negeri Selangor tanpa mengabaikan kesejahteraan rakyat, Kerajaan Negeri sentiasa menyediakan peruntukan sama ada melalui peruntukan-peruntukan ADN, AMMKN, Penyelaras DUN mahu pun peruntukan-peruntukan yang diberi terus kepada rakyat melalui program inisiatif peduli rakyat seperti Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Skim Peduli Sihat dan lain-lain.

    Walau bagaimanapun, demi memastikan program-program ini dapat diteruskan dalam jangka masa panjang, peruntukan yang disediakan haruslah selari dengan keadaan semasa terutamanya kedudukan kewangan Kerajaan Negeri seperti kedudukan hasil, tanggungan serta komitmen Kerajaan Negeri.

     

    Selain itu, program-program yang dirangka juga haruslah selari dengan keadaan semasa serta fokus Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri tidak boleh selamanya memberikan ikan sebaliknya perlu mula memberikan pancing agar ekonomi Negeri Selangor dapat terus berkembang dengan penglibatan rakyat dalam kegiatan ekonomi.

    Untuk itu, Kerajaan semasa penyediaan belanjawan 2019 telah merangka untuk melaksanakan penjajaran program IPR sedia ada. Pada April 2019 yang lalu, Kerajaan Negeri telah mengumumkan mengenai penjajaran tiga (3) IPR utama iaitu KISS, Skim Peduli Sihat dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE). Penjajaran ini bukanlah bermaksud program IPR yang disebutkan tadi dihentikan sebaliknya program tersebut ditambah baik bagi memberikan impak yang lebih baik kepada rakyat mahu pun Kerajaan Negeri. Antara usaha penjajaran yang dilaksanakan adalah menetapkan supaya kelayakan penerima sedia ada disemak dengan data yang ada di Lembaga Hasil Dalam Negeri dan e-kasih. Usaha ini adalah bagi memastikan hanya penerima yang benar-benar layak sahaja akan menerima bantuan yang disediakan.

    Penjajaran KISS contohnya, setelah semakan atau verifikasi data dilaksanakan lebih separuh dari 40 ribu pemegang kad didapati tidak layak. Bagi pemegang kad yang layak, mereka masih menerima manfaat yang sama iaitu sebanyak RM200 sebulan.

    Bagi Skim Peduli Sihat pula, daripada hampir 400 ribu pemegang kad adalah dijangkakan hanya sekitar 65 ribu orang sahaja yang layak dan mereka yang layak ini juga akan terus menerima manfaat yang sama iaitu kad rawatan tahunan berjumlah RM500 bagi keluarga dan RM200 bagi individu.

    Manakala bagi program SMUE pula, Kerajaan Negeri memutuskan agar manfaat sedia ada yang hanya dinikmati oleh waris ahli perlu dijajarkan agar manfaat tersebut dapat dinikmati oleh ahli SMUE semasa mereka hidup. Justeru, manfaat khairat kematian telah ditukar kepada bantuan Jom Shopping bernilai RM100 kepada semua ahli SMUE yang masih hidup.

    Bagi lain-lain IPR, Kerajaan Negeri akan terus menilai dan jika ada keperluan akan dijajarkan dari masa ke semasa bagi memastikan ia dapat terus memberi manfaat kepada rakyat.

Lampiran

Tiada Lampiran.