Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

3) STATUS KG KEMENSAH SEBAGAI DESTINASI RASMI PELANCONGAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sinergi antara wujudnya Zoo Negara dengan dinamisme Kg Kemensah berpotensi menjadikan kawasan rekreasi tersebut destinasi pelancongan berdaya maju. Nyatakan langkah-langkah yang telah dilaksanakan untuk menjadikannya destinasi pelancongan Negeri Selangor.

    Untuk makluman, Kampung Kemensah telah rasmi disenaraikan sebagai destinasi pelancongan Negeri Selangor. Kerajaan Negeri amat komited dalam mempromosikan produk pelancongan khususnya di kawasan Hulu Langat ke mata dunia. Produk pelancongan yang berkonsepkan konservasi, eko dan alam semulajadi ini menjadi pilihan kepada pencinta alam dan pelancong daripada Eropah, Singapura, Domestik dan sebagainya.

    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor membantu memasarkan produk pelancongan ini dan berusaha membantu meningkatkan kedatangan pelancong ke kawasan tersebut. Antara langkah Tourism Selangor untuk mempromosikan kawasan ini adalah;

    i. Pengiklanan Media Cetak dan Bahan Terbitan

    Tourism Selangor juga mempromosikan pelancongan melalui pengiklanan media cetak seperti akhbar, majalah dan risalah promosi. Poster informasi beserta laporan dan artikel diperbanyakkan di media tempatan dan bertaraf antarabangsa. Selain itu, Tourism Selangor juga menerbitkan risalah pelancongan seperti direktori pelancongan, peta, dan info grafik untuk memberikan informasi lengkap berkenaan produk pelancongan di daerah Hulu Langat. Antaranya seperti, Selangor Breakaway, The Best of Selangor dan Buku Terokai Kehijauan Selangor.

    Mempromosikan dan memperkenalkan produk-produk pelancongan di Kampung Kemensah di dalam siri promosi di dalam dan luar negara yang disertai bagi tahun 2020. Program promosi dalam negara yang disertai oleh Tourism Selangor seperti berikut;

    • Program MATTA Fair (2 kali setahun)
    • Malaysia Inbound Travel Fair (MITA)
    • Selangor International Expo (SIE)
    • Kuala Lumpur Photography Festival

     

    Program promosi luar negara yang disertai oleh Tourism Selangor adalah seperti berikut;

    • Asean Tourism Forum
    • SATTE, New Delhi, India
    • ITB Berlin
    • World Travel Market London
    • FITUR, Madrid

     

    ii. Hebahan melalui Laman web dan Media Sosial Tourism Selangor

    Tourism di dalam laman web rasmi akan sentiasa mempromosi pelancongan sukan negeri dan memastikan semua maklumat yang dipaparkan adalah yang terkini dan tepat. Laman web Tourism Selangor boleh dilayari melalui http://www.selangor.travel. Laman Media sosial Tourism Selangor mempunyai jumlah pengikut yang ramai melebihi 300,000 followers. Facebook, Twitter dan Weibo Tourism Selangor menggunakan profil nama @TourismSelangor serta Instagram menggunakan profil @DiscoverSelangor dapat mempromosikan kawasan pelancongan ini dengan lebih efektif dan meluas.

    iii. Penganjuran Program FAM Trip (Familiarization Trip)

    Tourism Selangor bekerjasama dengan produk-produk pelancongan yang berteraskan pelancongan eko dan alam semulajadi untuk menganjurkan sesi lawatan tapak atau FAM Trip bersama dengan agensi pelancongan dan agensi media tempatan dan antarabangsa.

    iv. Penganjuran Program Domestik berimpak Tinggi

    Antara program Tahunan yang telah dijalankan adalah larian Marathon King of Kampung Kemensah yang mendapat penyertaan seramai 5 ribu orang peserta domestik dan antarabangsa. Program ini juga memberikan impak limpahan ekonomi setempat atau ‘Multiplier Effect’ kepada sektor pengangkutan, makanan, penginapan dan sebagainya.

Lampiran

Tiada Lampiran.