Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

201) STATUS LETTER OF APPOINTMENT

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status Letter of Appointment (LoA) yang dikeluarkan oleh kerajaan?

    LoA yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri kepada GJA Engineering & Construction bertarikh 15 Mac 2010 tersebut bertujuan untuk melantik syarikat berkenaan bagi menganggotai Sekretariat Projek Pemuliharaan dan Pembangunan Sungai Klang yang membolehkan pihak syarikat memberi maklumat lebih jelas mengenai keupayaan syarikat dalam melaksanakan cadangan-cadangan terutamanya dari segi kewangan kepada Kerajaan Negeri Selangor. Ia hanyalah satu surat niat dan hendaklah ditafsirkan tidak mengikat Kerajaan Negeri Selangor dalam apa jua bentuk perjanjian seperti yang telah dinyatakan dengan jelas di dalam surat itu sendiri. Ulasan dan pandangan dari Kamar Penasihat Undang-undang Negeri telah dirujuk dan mendapati Kerajaan Negeri Selangor sama sekali tidak tertakluk terhadap Surat Niat tersebut. Ini bermakna, Surat Niat tersebut dikeluarkan dengan tujuan sekadar penyataan hasrat untuk meminta GJA Engineering memulakan perbincangan, mengemukakan maklumat terperinci mengenai keupayaan syarikat dalam melaksanakan cadangan-cadangan serta memberikan anggaran kos kewangan yang terlibat. Hanya sekiranya Kerajaan Negeri Selangor berpuas hati dan bersetuju terhadap cadangan-cadangan atau proposal yang dikemukakan, barulah persetujuan secara kontrak akan dimeterai bagi mengikat pihak-pihak. Selanjutnya terkandung dalam Surat Niat tersebut yang secara nyata menyatakan bahawa Surat Niat ini tidak akan mengikat pihak-pihak dalam apa jua bentuk perjanjian. Ini bermakna kedua-dua pihak tidak semestinya akan terikat dari sudut perundangan untuk mengadakan suatu bentuk perjanjian. Memandangkan tawaran pelantikan tersebut masih tertakluk kepada proses rundingan dan bergantung pada pertimbangan taskforce, maka ianya tidak konklusif dan belum dimuktamadkan.

    Namun begitu, oleh sebab pelantikan sebagai ahli jawatankuasa telah dibuat secara sah, maka Kerajaan Negeri Selangor tetap berkewajipan untuk melaksanakan janjinya untuk melantik kedua-dua syarikat tersebut bagi menganggotai taskforce yang ditubuhkan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak terikat dari segi hubungan kontraktual dengan kedua-dua syarikat tersebut atas pelantikan yang dibuat memandangkan ketiadaan sebarang perjanjian yang dimeterai.

Lampiran

Tiada Lampiran.