Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

31) STATUS MPKK

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status MPKK setelah kerajaan Pakatan Harapan pusat bertukar kepada Perikatan Nasional?

    Jawapan bagi Sub Soalan A dan B

    Kita semua sedia maklum, cadangan asal menaiktaraf semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung atau JKKK di seluruh negara kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) adalah daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

    Meskipun setelah Kerajaan Pakatan Harapan pusat bertukar kepada Perikatan Nasional, sehingga hari ini Kementerian Pembangunan Luar Bandar tidak memberi sebarang makluman sekiranya akan mewujudkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan atau MPKKP seperti yang diamalkan di negeri-negeri pembangkang sebelum ini. Justeru, MPKK sedia ada berfungsi seperti biasa, melaksanakan tanggungjawab berkhidmat kepada rakyat terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020 yang lalu.

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 4 Mac 2020 yang lalu di atas perubahan kepimpinan dan keadaan politik peringkat Kerajaan Persekutuan telah menimbang dan meluluskan agar semua perkhidmatan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) iaitu Ketua Kampung Tradisi dan Setiausaha serta Ketua Komuniti India (KKI) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) digantung tugas berkuat kuasa pada 5 Mac 2020 dan tidak layak dibayar elaun mulai 1 April 2020 sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. Semua tugas yang berkaitan akan diselaraskan oleh Penghulu Mukim Kawasan yang terlibat.

    Namun demikian, di atas keprihatinan Kerajaan Negeri dan solidariti untuk bersama melawan serangan wabak COVID-19 yang melanda negara dan dunia, Kerajaan Negeri melalui MMKN yang bersidang pada 25 Mac 2020 telah bersetuju dan meluluskan supaya semua perkhidmatan ahli MPKK – Ketua Kampung Tradisi dan Setiausaha serta Ketua Komuniti India (KKI) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) disambung semula berkuat kuasa pada 5 Mac 2020 sehingga 30 Jun 2020.

    Penggantian pengerusi atau Ketua Kampung Tradisi yang baharu sedang dilaksanakan secara berperingkat setelah mendapat persetujuan dan kelulusan Kerajaan Negeri. (status sehingga jawapan ini disediakan)

Lampiran

Tiada Lampiran.