Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013

26) STATUS PENSTRUKTURAN INDUSTRI AIR

Tahun: 2013

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kerajaan Persekutuan ada menetapkan konsep Willing Buyer & Willing Seller bagi penstrukturan dan pengambilalihan syarikat operator air oleh kerajaan negeri. Bagaimanakah Kerajaan Negeri menyelesaikan pengambilalihan syarikat operator air berdasarkan konsep tersebut?

    Dalam proses untuk mengambil alih semula perkhidmatan bekalan air dari Pemegang Konsesi untuk diuruskan oleh Kerajaan Negeri sepenuhnya, ia perlu melalui proses deprivatisation yang akan melibatkan banyak pihak. Deprivatisation akan menjurus kepada penamatan perjanjian konsesi sedia Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang yang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.

     

    Dalam menentukan nilai pampasan dalam bentuk tawaran pengambilalihan Syarikat Konsesi Air, Kerajaan Negeri Selangor mengutamakan kepentingan pengguna, value for money dan rakyat tidak terbeban dengan kos pengambilalihan tinggi yang menguntungkan Syarikat Konsesi Air berbanding dengan kepentingan pengguna khususnya rakyat Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengutamakan kebajikan serta kemapanan generasi sekarang dan generasi akan datang supaya tidak terbeban dengan pelbagai hutang (unnecessary debt).

     

    Sehingga hari ini, rundingan mengenai penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor masih belum dapat dimuktamadkan atas sebab pendirian yang berbeza di antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan dalam menentukan nilai tawaran kepada Syarikat Konsesi Air. Kerajaan Persekutuan dalam beberapa surat kepada Kerajaan Negeri Selangor masih menegaskan bahawa dalam merealisasikan pelaksanaan Model Holistik yang dicadangkan, Kerajaan Negeri Selangor

     

    hendaklah menyelesaikan apa-apa isu pengambilalihan syarikat konsesi air melalui transaksi komersial willing buyer willing seller.

     

    Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa konsep transaksi komersial willing buyer willing seller adalah bertentangan dengan hasrat dan semangat penggubalan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655). Penggubalan Akta 655 berdasarkan kepada inti pati bahawa perkhidmatan air adalah perkhidmatan asas kepada rakyat yang hendaklah diuruskan oleh agensi Kerajaan bukan di tangan swasta yang boleh menggunakannya sebagai senjata untuk memeras ugut sebuah kerajaan dan menindas rakyat dalam hal kenaikan tarif serta memberi perkhidmatan sewenangnya apatah lagi keperluan kepada air tidak ada gantinya. Lebih malang lagi apabila perkhidmatan ini dimonopoli oleh satu syarikat.

     

    Akta 655 tidak mensyaratkan secara mutlak akan rundingan-rundingan di antara Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan syarikat-syarikat konsesi agar diadakan berasaskan “bersetuju membeli, bersetuju menjual”.

     

    Dalam pengambilalihan Syarikat Konsesi Air, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menekankan bahawa sebahagian besar aset yang digunakan oleh Syarikat Konsesi Air telah dibina semenjak zaman Jabatan Bekalan Air Selangor dan Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) melalui cukai yang dikutip dari rakyat di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya. Maka sewajarnyalah kepentingan rakyat Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dibela dan bukannya mengutamakan Syarikat Konsesi Air melalui konsep willing buyer willing seller dalam menetapkan tawaran pengambilalihan tersebut.

     

    Penetapan nilai tawaran yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada Syarikat Konsesi Air adalah berdasarkan kepada analisa yang telah dibuat ke atas Audited Account setiap Syarikat Konsesi Air. Nilai yang ditawarkan itu telah mengambil kira faktor-faktor berikut:-

     

    1. Aset Air akan diambil oleh Pengurusan Aset Air Berhad (“PAAB”).

     

    1. Ekuiti Pemegang saham termasuk semua bentuk pelaburan dan sumbangan oleh para pemegang saham (seperti biasa atau saham keutamaan, pendahuluan dan, di mana alat berkenaan, ekuiti hutang juga diambil kira).

     

    • Pulangan atas Ekuiti Pemegang Saham dikira pada 12% setahun sehingga 31 Disember 2012 (dengan tidak pengkompaunan) dengan potongan bagi mana-mana pembayaran dividen

     

    • Liabiliti yang akan diambil alih oleh PAAB termasuk semua hutang tertunggak yang berkaitan dengan air yang terhutang oleh Pemegang Saham, yang termasuk:

     

    • Bon yang diperoleh oleh Acqua SPV Berhad (“Acqua SPV”) atau berada di dalam pasaran modal;

     

    • Pinjaman komersial, jika berkenaan; dan
    • Pinjaman kerajaan, jika

     

    Kerajaan Negeri Selangor adalah tidak berupaya untuk menawarkan nilai pengambilalihan berdasarkan kepada tuntutan Syarikat Konsesi Air menggunakan konsep willing buyer willing seller. Kerajaan Negeri Selangor amat menitik beratkan mengenai nilai yang akan dibayar kepada Syarikat Konsesi Air kerana apa jua bayaran yang akan dibayar kelak adalah merupakan duit pembayar cukai iaitu duit rakyat.

     

    Sebarang peningkatan dalam nilai yang akan dibayar kepada Syarikat Konsesi Air akan memberikan kesan yang banyak kepada Industri Perkhidmatan Air Negeri Selangor seperti kadar sewa pajakan dengan PAAB yang tinggi yang akhirnya akan memberi kesan kepada kos operasi yang akhirnya akan ditanggung oleh pengguna dalam bentuk tarif yang tinggi. Keadaan ini adalah bertentangan dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam mencapai Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

     

    Justeru itu, untuk menyelesaikan masalah berhubung nilai yang dituntut oleh Syarikat Konsesi Air melalui konsep willing buyer willing seller, Kerajaan Negeri Selangor telah meletakkan syarat di dalam tawaran pengambilalihan Syarikat Konsesi Air iaitu sekiranya Syarikat Konsesi Air

    tidak berpuas hati dan merasakan tawaran yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor itu rendah dan tidak munasabah, maka sebarang Syarikat Konsesi Air itu bolehlah merujuk isu pertikaian ke atas nilai tawaran tersebut kepada Tribunal Timbang Tara yang berpusat di London. Badan Timbang Tara tersebut hendaklah tidak memutuskan harga yang lebih rendah dari harga tawaran yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor. Setelah rujukan kepada Tribunal Timbang Tara tersebut, Kerajaan Negeri Selangor akan patuh kepada apa jua nilai dan perintah yang ditetapkan oleh Tribunal Timbang Tara tersebut.

     

    Rujukan kepada Tribunal Timbang Tara tersebut adalah satu langkah yang adil dan saksama dalam menyelesaikan sebarang pertikaian ke atas nilai tawaran oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.