Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

229) Status Projek Olak Lempit

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan status projek Olak Lempit.

    Status terkini projek Olak Lempit atau nama lengkapnya Program Penempatan Semula (Translokasi) Penternakan Lembu di Olak Lempit, Kuala Langat (atau ringkasannya TKPM Olak Lempit) adalah seperti berikut :

    i) Pembangunan fizikal bagi Fasa 1 iaitu membangunkan 10 plot penternakan lembu berkeluasan 2.023 hektar (5 ekar) setiap satu telah dimulakan sejak 15 Mac 2018. Sehingga kini semua kerja penyediaan tapak dan pembinaan telah disiapkan sepenuhnya.  Kerja-kerja tersebut termasuklah:

    • Menerangkan hutan/belukar/tanaman (site clearance)
    • Menanam cerucuk
    • Memasang pembetung (cross culvert)
    • Membina jalan ladang
    • Mengorek parit dan saliran
    • Memasang pagar perimeter dan pintu pagar.

     

    ii) Kerja-kerja yang sedang dilaksanakan adalah kerja-kerja menyediakan bekalan elektrik dan air dengan kerjasama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor. Kerja-kerja berkenaan dijangka akan siap sepenuhnya pada 30 November 2020.

    iii) Mesyuarat pemilihan peserta (pemajak tanah)  program ini telah di adakan pada 29 Ogos 2019.  Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor dengan ahli-ahli jawatankuasanya terdiri daripada wakil-wakil dari pejabat EXCO Pemodenan Pertanian, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTG) serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor).  Mesyuarat membuat keputusan bahawa daripada 10 plot penternakan yang dibangunkan, satu (1) plot dikhaskan untuk DVS Selangor bagi tujuan pengurusan, pengembangan, pengumpulan hasil dan aktiviti-aktiviti bersama peserta.  Seramai tujuh (7) peserta telah dipilih untuk mengisi baki sembilan (9) plot di mana dua (2) peserta telah diluluskan dua (2) plot setiap seorang kerana mempunyai ternakan lembu melebihi 100 ekor.

    iv) Semua peserta dijangka boleh memasuki TKPM Olak Lempit bermula 1 Disember 2020 bagi membangunkan ladang masing-masing (misalnya : kandang, rumah pekerja dan tanaman pastura) dengan syarat telah menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah Rizab Kerajaan dan melunaskan bayaran    pajakan selama 21 tahun kepada PTG sebanyak RM7,450 bagi setiap plot (2.023 hektar).  Seterusnya, Kerajaan Negeri juga menjangkakan semua peserta dapat menyiapkan ladang masing-masing sebelum 30 Jun 2021 sebelum membawa masuk ternakan masing-masing.

Lampiran

Tiada Lampiran.